Monday, March 26, 2012

Friday, October 14, 2011

kasih

kasih

henti masa ini
adalah siangku
dipintas lintasanmu

kasih
aku pegun, nafas dicuri
kasih
aku turut, melangkah kaki
kasih
aku luruh, rimbun sepi

mekar jiwa ini
adalah malamku
disisi hadiranmu

Thursday, June 17, 2010

Mengutip Matahari

matahari,
cahaya dan bara melata,
kerana jasadnya,
dilanggar dosa

Sunday, June 06, 2010

Hujan Rasional

Hujan Rasional
(seperti yang dibaca pada Malam Puisi Pena-eSastera pada 4/6/2010)

tanah ini telah gersang
kiannya,
kerana para petani sedang bersidang
cangkul siapa, sabit siapa perlu berpeluh
akhirnya yang terjelir haus
adalah jari jari mereka
menuding sesama

lapangan ini terus kontang
makinnya,
kerana para pesawah sedang bertingkah
lembu siapa, kerbau mana perlu bersiang
hujungnya yang tersenyum kelat
adalah kami yang mengemis
pada jiran tetangga

tuhan,
tanah ini mendepang dada meminta
turunkanlah hujan rasional
segera banjiri akal tingkah tikai mereka
semoga haus pena si penulis sejarah
yang mencantas dahan hakikat
hamba dan paria itu
adalah anak anak kita

Monday, February 01, 2010

Aduka, Aishah,Sultan dan Politik

berpusing lagi propeller jahanam
menghambur bau malar hingga
menutup hidung pun sekalinya
masih menyerap masuk menyentak benak
lalu kita pun gagah perkasa tiba tiba
menyerang propeller, sedang empunya?

i
dan telah datang dikalangan kita
seorang Aduka, kata-katanya
umpama pernah berduka atau sahaja
jahilnya dihati dihalang tuhan
membiarkan nestapa sangkut di jiwa

lantang dia menghitamkan umairah
lantas jarinya memetik suis propeller

dan kita leka,
dengan teh tarik, tol, astro
papan dam, bil kredit kad

ii
kerana lantang dan lantas
mulut dan jarinya tidak dicelah
maka berdiri dia atas menara megah
meludah keramat persemadian sultan

"Jika sudah mati, matilah!"

dan serentak para khayalak
tersadung kaki melangkah
sejuta jari bersatu menuding
lupa akan mereka dengan
teh tarik, tol, astro
papan dam dan bil kredit kad

"ini maruah kita!"

iii
datang politik membela
berbaris setia menghunus keris
kerna tercabar tengkolok sultannya dituding
walhal tersentuh sedikit berterbangan habuknya
bergegas kaki membuah silat
memintas tajam tusuk lidi

sedang sinar lampu iman kita
malap dan terbakar
dibiar tidak berganti
malah, pembelaan kita pada agama
sengaja salurannya dipindah ke longkang!

Wednesday, January 20, 2010

Sunday, December 06, 2009

Sisih

Sisih

susut siang itu
ditontoni sang merdeka tua
kerut roman menambah kedut parasnya
sambil menggenggam erat tongkat sakti
yang sudah menjadi menara pada busut anai
keluhnya menghempas bumi

mekar malam itu
dihujan hujah adalah kita
ada bara dibibir menambah perisa
antara waktu-waktu itu terluang, sisa
peluhnya menyemarak neraka

atas para
ada mutiara menangis
tersisih

Friday, June 19, 2009

Wednesday, April 22, 2009

Teratas Dari CInta

Kasihnya Hujan



P/s : sajak ini aku ambil kata-katanya dari isen Bunga Rampai yang bertajuk Kasihnya Hujan.

Surat Kepada Bangsa

Monday, March 23, 2009

Alas Bangsa

ada bangsa di bawah
tapak kaki politik
yang bersarung kasut berjenama

katanya,

buat pelindung cair lopak
dari luka sepak terajang agenda

eh!
tidak beralas bila
yang kena, kakinya!

ada bangsa di bawah
tapak kaki politik
menjadi alas kasut mahal
tunggu masa ditukar
setelah berjangkit
bau busuk kaki

atau haus meredah cair lopak
dan puas menyepak agenda

Friday, March 20, 2009

Bicara Politik Nasi Lemak

nasi lemak berbicara
tentang timun yang sudah selapis
disisip sisinya
tentang santan bergaul air
sedang bilis menajis
di alas duduk daun pisangnya

nasi lemak berkata
sambal mengamal politik pedas
namun isinya sifar
hujah bawangnya sudah dicatu
tukang masak
hatta garam dan cilinya pun

harga diri, kataya, zaman ini
tidak jati. ideologi parti.

jika telur mata RM2.00
jika sotong RM3.00
jika rendang RM3.50

namun aku, nasi lemak
harum pekat santan
menusuk hidung menjajah lidah
manifesto sambal pedas serata masin dan manis
diapit bilis bersih hadasnya
huluran salam timun berlapis
lebih utama nikmat dari diadun
tawar sotong, lebihan bau serai rendang
atau sejuk telur mata yang buta

Monday, February 02, 2009

Terima Kasih Israel

terima kasih israel
kerana mengalas jalan syahid
dengan permaidani merah basah

terima kasih atas sanjungan

juga kerana taburan bunga
hangit walau ia,
adalah sebab itu
unggun semangat kekal menyala

terima kasih israel
kerana menyentap rantai demokrasi
terbangkit kami dari lena dunia

terima kasih atas ingatan

juga kerana sentakan itu
penyebab kesedaran
masih rupanya ada
saudara kami di Palestin

terima kasih israel
menyiangkan langit malam
buat penyuluh jalan syahid

terima kasih di atas bantuan

terima kasih,
israel.

Bila Bela Belia

bila bela belia benci dadah
diasuh pula bukan bersuci
hati, jiwanya didandi
asyik pada sinar bintang

pecah ruyung bagaimana carapun
walau tidak beralas tumpahnya
asal sagunya dipinggan
asal dapat dirasa
tercemar seperempat apa dikira

bila bela belia benci dadah
belalah juga belia cinta agamanya
tuhannya, saudaranya, akhiratnya

endahkah?

Sejuta Dari Palestin

Noda Di Palestin

palestin dinoda lagi
tubuhnya didera
dan menjadi ulam
sarapan pagi atau makan malam
tontonan saudara saudaranya

suis simpati dipetik lagi
titis airmata meringgit
apakah sampai? kuntuman sedekah
bila seguninya dipinggang
si buncit sekular

apa yang didendam
pada palestin?
hingga enggan dikirim
senjata pembalas luka
para fisabilillah
berkongsi derita
maruah ihsan bersaudara
penambah kuasa

apa yang didendam?
hingga tangan-tangan kita
bacul mengangkat senjata

palestin ternoda lagi
gugurnya bukan kerana zionis
kerana gentarnya nafas
persaudaraan kita

Tuesday, December 16, 2008

Menunda Mati

betapa mahu
menunda giliran menunggu
menaiki limo mewah

ronda kota sekali lagi
belum balang puas tertumpah
isinya

belum lagi hembusan dingin
merayap segenap muka
incinya

betapa lupa
keasyikan itu dimeterkan
bakal dituntut hujung perjalanan

Thursday, December 11, 2008

Beban Bahu Bumi

menjadi kuli, bumi
betapa lelah menuruti
kehendak insani
telah bercucuran belas dari lagit
dipinta kerah masih
menggalas peradaban berguni

dan lucut muatan
kerana lecuh dan lenguh
menggelusur merempuh
manusiawi

lalu dibuat pelantar
diikat dipaku dibahu

menjadi kuli, bumi
tersungkur lagi
rebah menatap langit
suara tangis insani tiada dipeduli

runcing jari menuding bumi
"kau kuli!"

hingga lupa bertanya
siapa mengikat, memaku
dibahu siapa
mengerah menuju keluar batasan

Thursday, November 06, 2008

Motif

motif

lagak datang berhajat
tembikar lusuh dipegang
emas menjadi
pujuk suruh bergadai
kerak nasi ditanak
nanti peram, lama ulamnya daging
bersurut terus zaman anang
kononnya, ganti berganda!

lalu datang menuntut
sekian zaman mana,
kunci meluruh tegang
ikatan harapan

derhaka!
sudah terhidang, tersuap,
sudah menyusur, teralir
sudah terang, berdendang
merdeka itu galangnya!

adat melayu kita
mudah lupa, akan
surut badai menyisakan susah

Friday, October 31, 2008

ironi

apakah bila luputnya
nanti, punca kehidupan
manusia baru teringin
berhenti berperang?

atau kekhuatiranku
benar,

manusia tidak lupa berperang
selagi genggam penumbuknya upaya
akalnya masih jaga
selagi tubuhnya mengempang nyawa

ironi

apakah bila luputnya
nanti, punca kehidupan
manusia baru teringin
berhenti berperang?

atau kekhuatiranku
benar,

manusia tidak lupa berperang
selagi genggam penumbuknya upaya
akalnya masih jaga
selagi tubuhnya mengempang nyawa

Saturday, August 23, 2008

Manifesto Songsang

terdetik waktu untuk berbisik
pada jiwa jiwa luka
bakal ribut di galengan
kan terdampar percuma
pengaturcara dibakar sebulat cakera

manifesto songsang
siratnya hukum kan dinaiktaraf
islam versi ke 2

nun jauh sayup galgal
suara anak anak gagak
kononnya rezeki dibahagi dua

(walhal masih lagi rezeki bapaknya diragut tiada pula pandang diendah!)

Mencabut Matahari

kalau boleh
mahu dicabut matahari
dikerat kerat dan
diniagakan

kalau boleh
mahu dikurung pelangi
menjadi medan menarik
jahil

kalau boleh
tidak mahu memanusiakan diri
demi gentar
genggam dunia di kocek
tercicir

Merah Barah Marah

berdenyut denyut medula
menahan getar amarah
yang menyucuk nyucuk
sekitar dindingnya

tali logik tertarik
tegang hingga timbul
seluruhnya

tersentap nyawa hati
-pecah medula
-putus logik
sekitar suasana hayat

terhambur perasaan
merah barah marah
sawan pertimbangan
maka tinggal jasad iman

Pentas Jahanam

Patriotik Sudah Mati

Monday, June 09, 2008

Amuk

kias kata hias
hodoh di laman bicara
maksud berinti basi
dipersembah mahu masih diniaga

tarik paksa dipercaya
sekalian janji di dulang
seulam paku serpih
diratah hendak tidak

lalu melalang binasa
di subur bendang
katanya, tangga orang kita
rupanya, rotan melibas

lalu pukang dikejar
pesimis itu aku
dan berapi sekam diteduh
sehingga bangsal menjerit riuh!

Tuesday, May 27, 2008

Cermin Semula

terlentang juadah
ditolak tamak
kerana berebutan kenyang
menyusur syukur
melarikan dirinya
yang kancil

maka melaunglah
bangsa nasi yang terjunam
di dalam gaung tong sampah
luak bergayutan di tepi pinggan
ditolak rela oleh jemari
yang mengaku saling bersalaman

nun sayup, tinggi pandangan
umat tuhan
perlu dicermin semula

Friday, May 16, 2008

CInta Mama Tidak Pernah Terlewat

malam utuh penuh cinta
walau diluar disiram gelita
menghilang kini suara gemersik
geseran daun usikan bayu

tiada cengkerik bersyair
saat pungguk lena berbantalkan
mimpi rembulan
embun pun bersimpuh
di kelopak sekuntum bunga

mekar rindu pada cinta
yang tidak pernah terlewat
walau dalam kalis waktu
tetap mama melapang kalbu
dan setia sedia menadah tangan
menyambut rumpun rindu

dan pada mu mama,
selalu dan sentiasa jua
ku unjur doa, rindu dan kasih
tidak sepanjang hayatmu,
tapi hayatku

-Diolah dari kata-kata Bunga Rampai di blognya.

Lalai

Monday, May 12, 2008

Memakai Masa

Sudah terlanjr kita
memakai masa
hingga lusuh pula
kita masih terlupa

sudah terlalu tinggi
menyusun masa
hingga runtuh
dan terbengkalai pun
kita terlupa

masih
mengharap tuhan
membekalkan lagi
masa

Wednesday, May 07, 2008

Dulu Merdeka Kini

maka tertumpah taat setia
dilanggar penjajah
membanjiri negara
lalu bergolak menuntut
agar dibebaskan keadilan

dulu, jadilah merdeka.

ia ibarat kunci
menunggu untuk diputar
membebaskan kemerdekaan yang lainnya

kini.

Monday, May 05, 2008

Ruang

tuhan,

tanpaMu

dunia seluruhnya

sekadar ruang

yang dibazirkan

Monday, April 28, 2008

DOsa Yang Halal

mereka menipu kita
dengan merdeka
selindung jiwa
dari peka kepada
kiasnya

mereka menghukum kita
dengan keadilan
terkunci bahasa
dari biar cambah
bunganya

mereka meniduri kita
dengan wawasan
anak anak bangsa
sebati telanjang
sifatnya

mereka meracun kita
dengan dosa yang halal
hingga hujung nyawa
mereka bertanya
kamikah?

Thursday, April 17, 2008

Badut

di lapangan kertas
saujana terhampar
juadah penipuan
jenaka badut bertali leher
diketawakan agamanya
roh dan bangsanya

berdekah dekah ketawa
mengundang jengkel
mata menganyam benci
hati mencetak carut
untuk diutus kepada badut
yang sedang mentertawakan dirinya

dan anak menuding jari
bertanya siapa dia itu
meladang negara
dan ku katakan, itulah badut

Sunday, April 13, 2008

Nafas

tolong tuhan
jangan alihkan gunung itu
alihkan sahaja kekuatannya
ke dalam jiwa ku

tuhan tolong
jangan gerakkan penghalang itu
sebaliknya berikan arah
untukku mengelilingnya

berikan satu tanah
walau setelapak cuma dihatiku
kan ku suburkan iman
kan ku rembeskan
darinya, nafas kesyukuran

Tuesday, March 25, 2008

Biarpun

tuhan sengaja membentangkan alam
agar cahaya tulus matari terhampar
bersambut menerangi kita
seleka mana biarpun

tuhan sengaja merentang angkasa
mestinya melintas ia menjadi
khabar mata yang mencari
keagunganNya

tuhan sengaja menetapkan masa
agar mendung dan cerah bergilir
memayungi insan biarpun
saling melukai

biarpun

Sunday, March 23, 2008

Epik Si Tua

terima kasih
kepada si tua yang berhajat
kerana dengan lenggok kami bisa lihat
saki baki pahala yang berguguran
dan malaikat di kiri itu memohon
sedozen lagi pena.

terima kasih
kepada si anak yang bersorak
kerana dengan teriak riangnya
tersentak di jiwa kami
hentakan benci menerjah ke dinding iman

terima kasih
terima kasih
terima kasih

kerana memberi risau
dibalut takut
saat mata ini bertentang
jernih matanya anak memandang kosong
luas dunia

Thursday, March 13, 2008

Menghirup Rona Hati

lewat terangkat tabir keinsafan
selewat pergi badai nafsu
menghirup rona hati
hingga kontang
tinggal hitam hanya

baru tergagah melahirkan sedar
kerana terpaksa atau rela
meredah jua ribut
hingga turun sauh
di pelabuhan

kini, di pelantar
legas nafas ditarik
bertanya alam

apakah kau percaya
kepada seni menjadi tua?
selubung kebenaran, cuma
atau menghampiri mati, tika?

Saturday, March 08, 2008

Laga, konon

konon jalak taji beracun
konon kena, keramat kematu
jadinya lagak sayup jatuh
sesaat
dan bukan lawan yang ada lawan
setanding tidak pun satu
konon!

gah sanjung kemenangan
sedang bukan perang terakhir dijilid
masih berbaki ribuan mata
serampang sengketa nanti seruan

mana bisa?
taji beracun tidak berasah pernah
tidak pernah memamah jua
sekati daging diri
semua konon seragam lakon

mari berpencak
jantan selagak lakunya
biar tumpah sekali ini
dakwat dari hati
sebenarn yang-nya kau tuduh konon!

Thursday, March 06, 2008

Mengayuh Propaganda

kasihan marhean
bawal karinya, tipu
ayam seekor, tipu
bukan tiruan
tapi tipu!

berkumpulan
datang anak dan menantu
bertaruh kudis dan nanah kita
gah ketawa jelata
dalam bertanya
apa judul cerita
si nenek mengayuh propaganda

tabur benih katanya ros
berkat hujan menghijau lalang
pun, si kancil juga saling bertingkah
si gajah tidak sebulu
namun belalai saling bersambut
yang memakai parutnya, kita!

Sunday, March 02, 2008

Catur

dan gegar jelata
hiruk laung penjaja janji
mula bertasbih tahmid
imam yang bersekutu
pun jadi nyaring tiba tiba
si jalak tua

lalu himpun lalat
mengharap bangkai
bagi, ambil! bagi, ambil!
jerit serigala

nah! sekolah,
jalan baru, baju, basikal
air, harga turun minyak senyonyong
terbelalak mata jelata
disundal lagi

kamu (kita?),
adalah askar askar mainan
dihantar ke sempadan
peperangan, untuk tewas.

Tuesday, February 12, 2008

Layar Bahtera Merdeka

Datuk nenek kita dulu
adalah tukangnya
sempurna bahtera merdeka

tiba giliran kita
hanya menikmati satu keagungan
tiada lagi kayu hendak dipaku
pahat pun senyap dari berbunyi
sesenyap jasa dan bakti

berpesta nakhoda dan anak anak kapal
memberi jaminan sesungguhnya
layar bahtera merdeka tidakkan karam
tidak dimakan ribut dan taufan

dan aku khabarkan kepada
keturunanku,
bahtera itu akan terus selamat
selagi ia terikat dipelabuhan
tapi bukan itu-nya tujuan
datuk dan nendamu berhempas pulas

Saturday, February 09, 2008

Renyai Renyai Rahmat

Renyai renyai rahmat
itu dipinta semua
makhluk melata
dan doa peribadi
dari bumi sendiri

kecuali manusia!
akal warasnya menolak
syukur dalam bencana

sedang memang bumi meminta
zahirnya ditenggelami hingga gigil
hingga hilang upaya kepanasan
kerjaan kaki tangan kita

renyai renyai rahmat
kan turun lagi
kerana ia bantuanNya
selagi dipinta
oleh mereka makhluk selain kita

Thursday, February 07, 2008

Kebenaran Di Dalam Konkrit

kebenaran itu tertanam
di dalam konkrit
ditimbus denyap oleh simen

bertahun tahun
ia disangka mati
siapa menduga
kerana kontraktor murahan
dari sistem piramid
siemn itu pasirnya lebih

mula retak dan pecah
kebenaran merayap keluar
menjamah cahaya
menjerit memanggil kita

Friday, February 01, 2008

Monday, January 28, 2008

Terminal

Petang melanjutkan penantian
aku dan mereka
di terminal ini

aku duduk
mereka, ada duduk disampingku
mengapit kehangatan
lain, berdiri ada berbual
sendiri

aku dan mereka
di terminal ini
satu tujuan, satu penantian
yang akan dilanjutkan oleh petang
atau malam

dalam bingit sekitar terminal
dan kalut kota yang mengelilinginya
aku tersedar sebenarnya
kami di terminal ini
sedang menunggu mati

Saturday, January 26, 2008

Kotor

Generasi ini
kebencian adalah
namanya

generasi ini
kejahilan adalah
lakunya

sering mengangkang
menikmati juadah haram
mantera nikmat disetiap hela
nafas, bertaburan tahi (ia hidup!)
dibuang merata rata

tuhan,
generasi kini
kotor!

H U J A N !

Hanya Sabar

aku hanya ada sabar
untuk singkap matahari pagi
untuk selak wajah langit
selepas gugur airmatanya

dan untukku akur
redha dan terima
kerana rahsiaNya
tidakkan dapat bermukim di jiwa

kerana itu, aku hanya ada sabar
seperti aku tahu alam
bukan selama dibungkus malam

dari jauh aku terdengar
sayup sayup alunan kalimahMu
"Kesabaran akan memenangi segala-galanya"

Sunday, January 20, 2008

Dari Dia Datang

dari Dia datang
rahmat dan petaka

dari Dia datang
mudah dan susah

seluruh kehidupan
dan kematian
tiap detik, hela nafas
masa tidak sekali berhenti
dari Dia datang ababil
dan muntah lava vesivius

dari mana ia bermula
di situ akan bermula
sekali lagi

Saturday, January 19, 2008

Bumi Melatah

manusia terlupa
dia harus bina
bukan binasa

teroka bukan tawan
ikut perintah dan bukan
memerintah

manusia terlupa
bumi sudah tua
dan ia akan melatah

Sunday, January 13, 2008

Leter

Pili air itu mula berleter
mendatangkan jengkel pada sinki
yang menadah ludahnya
menganggu lena lampu dan tandas

diam.

masing masing membiarkan
sunyi memberi laluan
deras leteran
dan berdoa
moga kekesalan mereka menerpa
dalam bentuk harga
disetiap hujung bulan

Peluru Aksara

sebatang pena ini
berdakwat biru
pengganti diri
dan peluru
cermat aksara disusun
hikmatnya, hingga tumbang
sebatang pokok, menjadi bara
dan menyala semula (lagi)
api perjuangan

sebatang pena ini
berjuang dalam medan sendiri
matlamat yang sama
hingga terhenti nafas pun
peluru peluru aksara ini
tetap mencari sasarannya
selagi ia jelas tertera

Tuesday, January 08, 2008

Sesuatu Yang Hilang

kunjung pelangi
antara malap
dan suram

rembes cahayanya
samar samar memetik
seekor kupu kupu
terbang rendah
mendetik masa
dan hilang

bukan enggan bertamu lama
aku percaya,
kelak bila diizinkanNya
sejalur pelangi kan terang
dan kupu kupu kembali datang

Monday, January 07, 2008

Hingga Hujung GArisan

Dinding dinding dipenuhi contengan
rasa lelah mula berbahasa
kasar dan garau
aku mahu duduk

tali tali ketabahan
tetapkan keutuhannya
jangan terputus
dihiris masa, putus asa

hidup,
bila bila pun akan tamat
kesudahan, kita rencanakannya

hidup,
biarpun lenguh menggalas beban
hingga luka berduri kaki sekalipun
biar sampai ke hujung garisan

Monday, December 31, 2007

Kiriman Kedua Dari Tuhan

Tuhan,
terima kasih pada kiriman
yang kedua ini
belum pun sempat kami balas
kiriman yang pertama itu
belum habis kami baca seluruhnya
sungguhlah Engkau Yang Maha Pemurah

tuhan,
terima kasih pada kiriman
yang kedua ini
tidak sabar rasanya
hati semanusia kami
ingin segera menatap isi kandungannya
yang penuh, dengan rahmat

tuhan,
terima kasih pada kiriman
yang kedua ini
berkatilah kehidupan kami
sesungguhnya sujudlah kami
seluruh anggota badan kami
jiwa kami, hanya kepadaMu

Aku Nak Main

aku nak main,
dengan kamu
dengan dia
atau dengan, aku sendiri
jika dia atau kamu tidak sudi
eh/ aku lupa
masih ada, Su-PaR-jo

itu bukan keji
itu, inovatif dan kreatif
itu, alternatif

cantik manis bibirmu
ayu wajah dan sinar matamu
merentap jiwaku,
aduh sayang kaulah cinta
izinkan aku mengulitimu

jika sudi, mari bonceng
jika tidak pun tidak mengapa
kerana Su-PaR-jo, sudi tonggeng!

Thursday, December 27, 2007

Politik Burung Unta

seekor burung unta
berlari kesurupan
oh! oh! ada singa di belakang

datang akal, membisik
kaki pun rakus menggali
lubang, dan dibenam kepala

lega! lega!
singa pasti tidak nampak
dunia pun pegun

bodoh!

Friday, December 21, 2007

Dalam Manusia Ada Bunuh

asal manusia, ada
bunuh
serangga, hutan, ikan, insan
dan dunia

bunuh ihsan bunuh
undang undang bunuh cinta
bunuh maruah bunuh
segala gala

atas nama dendam
atas nama perjuangan
atas matlamat
demi keadilan harus bunuh

dan aku, mahu. bunuh, kamu.

Balada Untuk Anak

hey anak anakku
mana hilang sepatumu?
buat alas kaki melangkah
dunia penuh kaca

hey anak anakku
santunkan semula akalmu
kembali berbudi pada tuhan
sarungkan malu pada tubuhmu

jangan biarkan mentari
memamah bebas ronamu
itu hak yang tak bisa diganti
jangan biarkan kaki berlari
bebas melintasi batasan
itu hanya satu kehancuran

hey, anak anakku
jangan hilangkan selimut ini
kemerdekaan yang ingin dicuri
amanatkan semula pada cucuku nanti

Monday, December 03, 2007

Mandul Minda

tua tua nanti aku mahu menyorok
takut pedih telinga pekakku
dijentik oleh jerit marah
anak anakku

"tanah celaka apa kau tinggalkan untuk kami ini?!
mana merah pusaka untuk ku pacak teduh salahsilahmu?!
mana basah tenggelam hanyut rezeki untuk ku raih
menyumbat kenyang keturunanmu?!"

tua tua nanti aku mahu lari
dari bual buka cerita perjuangan
takut terjentik mata rabunku
oleh kata pandang anak anak bangsa
yang sudah mandul mindanya

Sunday, December 02, 2007

Menyikat Botak

Aku,
sudah botak!

kerana sikat itu aku lihat
sudah lupa pada tugasnya
memperkemaskan aku
dia, sudah tamak!

Aku,
sudah botak!

kerana sikat itu aku rasa
mula mengikir gugur rambut ku
helai demi sehelai
drastik, itu yang aku ambil
botak!

nah! sekarang kau mahu apa?

Saturday, November 10, 2007

Tuan, Kita Punya Masalah

tuan, kita ada masalah
tentang masa
ia enggan berhenti
dan berjabat tangan

tuan, kita ada masalah
dengan dunia
ia rupanya fatamorgana
dan kita terpedaya

tuan, kita punya masalah
dengan nafsu
ia sudah meniduri hati
kan melahirkan kebinasaan

tuan, kita ada masalah
dengan nyawa
dengan kuasa
dengan manusia

tuan, kita ada masalah
dengan tuhan
kerana Dia, sungguh
maha adil

Pengemis Negara

Negaraku

di hujung mulut lintah

di celah gigi serigala

yang mengaku ayam


seperti kau dan aku

pengemis yang meminta minta

dipulangkan keberanian itu


kerana semangkuk serdak roti

kerana sebidang tanah longkang

bertanam kangkung

dan sebatang payung berlubang

yang tercabut jejarinya

kita jadi pengecut

Saturday, October 20, 2007

Propeller Berpusing

sedang,
propeller berpusing
harapan kami
dingin kan terik

datang kamu
menyimbah tahi
pada muka
propeller yang berpusing

cis!

Thursday, October 11, 2007

Berjabat Tangan Masa

berjabat tangan masa
aku, mencuri baju siang
setitik kemerahan mula berarak
menjelmakan senja

tutupkan aibku!
tutupkan maluku!

moga tidur lena
untuk damai ketika bangun
moga hari ini tenang
demi celik mata
mencari mana waktu mati

berjabat tangan masa
dia, mencuri alpa ku

Wednesday, September 26, 2007

Akulah lelaki itu

bila sahaja berbunga
resah di taman hati
kau sentuhan magis
menghijaukan kewarasan

dan camar ini pun terbang
kemana tetap ke sarang
kini dan selamanya
akulah lelaki itu

kadang mesra bersama
masa cuba menguliti
kaulah hadiah utama
yang tuhan beri padaku

setiap langkah berdua
cuba ku seiringkan
kini dan selamanya
akulah lelaki itu

sehingga,
selama mana pun
yang disisimu
akulah lelaki itu

Monday, September 24, 2007

Batu Dalam Sepatu

ada batu dalam sepatu
memberitahu
"tengok, yang menyakiti tapakmu
adalah sekecil aku, tanpa sedar
tidak terduga oleh akalmu"

sebutir batu dalam sepatu
memberhentikan langkah laju
memberitahu
"jelaskan kembali arahmu"

batu dalam sepatu
adalah ketukan realiti
memberitahu
"takkan aku di sini
andai akalmu tahu di mana hala tuju"

Saturday, September 22, 2007

Lelongan Di Pasar Metropolitan

jiwa manusia sudah
sehebat binatang
dan lupa pada tanah
asal kejadian malah
tempat menumpang

"manimu itu tika jatuh ke bumi
takkan diendah oleh ayam sekalipun,
jangan kau lupa!"

tuhan melihat
di pasar metropolitan
lelongan maruah
demi ringgit dan sen
syukur untukNya
hanya dihujung lidah

juadah di jagat nyata dan maya
menjadi rebutan
dan tuhan melihat betapa kita
menentang kebenaran
ketika dalam keimanan

Friday, September 21, 2007

Matinya Sekuntum Mawar

Untuk adik Nurin. Al-Fatihah.

Matinya Sekuntum Mawar

sekuntum mawar
terbiar layu, dikurung
di dalam sempit kotak kain bertangkai
hilang nyawanya
tanda hilang manusiawi
khilaf, yang enggan diperbaiki

semadikan mawar itu
sekali lagi, semulianya
tacakkan kelibat ihsan
di kaki dan kepalanya
beradulah sayang
biarkan runsing
kami yang endahkan

jiwa kita melara
terperangkap dicelah celah
bangunan tinggi metropolitan
nyawa mawar itu
adalah harga yang harus dibayar
demi impian mengapai bulan
membelakangi tuhan

Wednesday, September 19, 2007

Angkara Engkau

mungkin(kah) gunung dan bukit
sedang memarahi bumi
"engkaulah! engkaulah!"
tudingnya

mungkin(kah) langit pula
sedang meludah bumi
"engkaulah! engkaulah!"
hamburnya

dan bergolak rasa resah
mendendami ketidakjujuran
kita, kecewa lalu dia
pun menggarangi kita

bangkit manusia mula bertingkah
angkara siapa?

"engkaulah! engkaulah!

Monday, September 17, 2007

Bangkit Menemui Pagi

itupun telah jatuh berderai
airmata tuan iman di jiwa
antara sela tangan terangkat
memanjat doa

seluruh malam indah heningnya
dalam sepi sayu bayu berbisik
satu suara melontar kalimah
kudus, kata kata tuhannya

dan di mana tumbuh pohon berlindung
dari terik dosa memancar
apa yang telah aku lakukan?
mana hilang sepadang rumput
subur untuk jiwa yang gelisah

tidak masa kuharap lalu perlahan
biar dihujungnya takdir yang telah bergema
tetap ku sujud ampun,
keinsafan ku ini tuhan, biar dapat lagi
bangkit menemui pagi

Wednesday, September 12, 2007

Mencari Nur Qalbi

suluh bagai bersungguh mahu
cari mana sembunyi
di antara satu ruang cahaya
bertompokan di dalam gelap
cari di mana, redhaNya

begini lagaknya, malam semarak
berarak gelita menutup seroja
putih kelopaknya kering
kian, merasa waktu memamahnya
bakal punahkah ini kala menuju
ketenangan

sudahlah, sunyi meluka nurani
melompang puri sanubari
tercalar sehalus rambut
membuka luka jiwa
tuhan, singkapkan sekali lagi
indah cinta nur qalbi
riasan kalbu hingga bisa
terbang mengawan segala rewan

Sunday, September 09, 2007

Di Ambang Ramadhan

di ambang Ramadhan
ada kaki yang kecundang
melintasi qalbi
mencari mutiara hati
tersembunyi di dalam kolam yang keruh
jemput si undan singgahnya tiada
memanggil kedidi terbang menjauh

sepekan sudah waktu bertemankan sunyi
merimbun duka mengait syair terpinggir
mengharap rahmat titis air langit
menangis, renyai berderai harapkan
sudahnya terik mendung bertamu enggan
pula bayu membisu

kian hari hati merekah gersang
dalam diam relung hati rajuk berbisik
kata pujuk mana dirujuk, di situ pulang hampa
diam saja bermuram durja
melangut di antara malam
mencari hilang penglipur lara

tafakur jua dalam akur
dulu lupa, kini kembali
pada sejdah usang itu jua
tersambut titis kesal airmata

Dongeng Melayu

dan bangsa ini,
berbangga dia bila lupa
adab bicara, santun berbaju
adat berhajat, malu bersahut
atau keras mantera jari menari
merasap keris

mana hilang seni budaya
pantun bersahut
syair mengiring
salam tangan kejap bersambut

apa yang tinggal
kemelayuan itu
hanya dongengan

apa yang tinggal
kemelayuan itu
hanyalah, kemaluan!

Tuesday, September 04, 2007

Tuhan Sedang Tarik

tuhan sedang menarik perlahan lahan
(mungkin)
sehelai benang di dalam tepung
agar menepati bidalan
yang ditempa dari akal manusia

tuhan sedang menarik perlahan lahan
sehelai benang di dalam tepung
sangat perlahan
hingga manusia menjadi bosan menunggunya

tuhan sedang menarik perlahan
benang itu
kerana janjiNya dimungkiri
kerana wujudNya dinafi
kerana kalamNya dikasari

Sunday, September 02, 2007

Sayang Marhean

sayang marhean
bergolak bergadai nyawa
saban hari menentang arus
satu sistem
takluk kebijaksanaan
dengan rona sesat gemirang

sayang marhean
jantungnya sentiasa terlepas
satu degupan setiap minit
satu sitem
membebaskan nafsu
untuk penuhi tuntutan batin mereka

dirompak! nafasnya
dirompak! akalnya
dirompak! segala gala

hingga lumpuh sakit melarat
membawa payau kahak
yang tersekat dikerongkong
membawa beban galas merah bahu
hingga ke kubur

sayang marhean
mengeluh kesah resah kecewa
tanah halaman berlubang lubang
satu sitem
memutus urat urat kaki
hingga tiada mampu berdikari

Yang Terindah

yang amat terindah
dalam diri
bila hatiku sujud kepadaMu
setiap butir kalimah
yang diucapkan
bagai ada manik manik
cahaya berterbangan

tiada terbanding
segala yang terindah
kerana, semua milikNya

yang amat terindah
di malam sunyi
keheningannya menyucuk iman
setiap butir doa
yang ditadahkan
berjalur jatuh berderai
di mata titis keinsafan

tiada terbanding
antara segala dosa
dengan keampunanMu

tiada terbanding
segala yang terindah
keranaMu, tuhanku

Tuesday, August 28, 2007

Teringat

tiba tiba
aku jadi buntu
buntu dan sebu
sebu dan,

tiba tiba
aku jadi buta
buta dan resah
resah dan,

tiba tiba
aku jadi kaku
kkau dan sjeuk
sejuk dan,

tiba tiba
aku teringat, hati
teringat, iman
teringat, mati
teringat segala saki baki
dan,

tiba tiba
sakit seluruh sekujur tubuh
sekilas pandang besar rantai besi
menghentam aku hingga ke dasar
7 lapis perut bumi
dan,

Sunday, August 26, 2007

Kebebasan Rama Rama

anak anakku
nanti akan aku belikan
topeng gas
bukan untuk kegunaan kamu
pada hari ini
tapi untuk cucu cucuku

anak anakku
aku titipkan rezeki kian sedikit
moga menjadi bukit
bukan kekayaan kamu
tapi untuk cucu cucuku

anak anakku
biar aku ajarkan tentang pena
keras dakwatnya, berkuasa
bukan untuk membenarkan
kemerdekaan pada jenayah dan onar
tetapi untuk kebebasan
rama rama,
yang dikejar cucu cucuku

Friday, August 24, 2007

Harapan Di Bucu Bintang

zahirkan bisikan itu
di atas bantal
pimpin cuaca mendung
ke arah timur

ketika terbangun sendirian
sekotak kesunyian
berkabus di bilik ini
dan sekelilingnya

dan mimpi tersasar
ke langit
menyangkut harapan
disetiap bucu bintang

dalam bersungguh senyum
yang terpahat dihati
pelangi sudah berakhir

Wednesday, August 22, 2007

Mari, Kita Rayakan

mari, kita sambut
perayaan ini
nyalakan lilin
mari, kita rayakan
hilangnya peranan bahasa

negara kita, merdeka
mari kita raikan
kekayaanya
dengan membuang
biasiswa yang lusuh itu

mari, kita sambut
perayaan ini
indahkan langit dengan api
mari kita nyanyi
lagu hilang segala hak

mari, kita rayakan
dengan megah kemakmuran kita
mari, kita raikan
dengan hebah merdeka kita
mari, kita nyanyikan
dengan bangga bangsa kita

yang merdeka,
mari, hapuskan pusaka kita

Sunday, August 19, 2007

Tahanan Merdeka

mereka menahan aku
kerana bendera di hatiku
tidak ku kibarkan
di atas kereta dan rumah

mereka menahan aku
kerana patriotikku itu
sujud syukur
sedang mereka riuh bersorak

katanya,
aku tidak merdeka
tidak membangga bangsa
tidak menyanggah agama
tidak mengendong dunia

mereka menahan aku
kerana malu
ludahan terkena muka sendiri
sewaktu aku membisik
kisah merdeka di cuping anak
yang baru mahu lena

Thursday, August 16, 2007

Menambat Masa II

dan ku temui lagi
lelaki tua itu
dalam senyum mesra
dia berkata

"aku mahu menambat masa, lagi
kali ini untuk isyak
panjang waktunya itu
adalah tanda kesuntukan"

"bagaimana halmu?"
tanya dia

"sudahkah melangkah ke maghrib
atau masih menguliti asar
yang telah pergi?"

Monday, August 13, 2007

Dunia Lain

Kesekian kalinya
bersendirian
di tengah bingit bandaraya
Kuala Lumpur yang menjerit
aku mahu lena
demi merasa dia di sisi

di dunia yang lain
aku bisa melangkah
berpura tiada apa
yang perlu untuk aku darimu
di dunia yang lain
bukan yang ini

tiada kubu
untuk aku pertahankan
tiada kata janji
untuk diperbaharui
dan semalam
adalah satu tempat yang aku tuju
berulang kali

Sunday, August 12, 2007

Hanya Lelaki

dia, terlalu wanita
mengharapkan aku
melakonkan babak romeo
mengutus kata bagai bonaparte
meluruh jiwa bagai yusuf

mendatangi alam mimpi remajanya
laksana uda
di dalam novel cinta

tapi aku bukan!

aku hanya lelaki
yang ada
sekuntum mawar merah
di celahan hati

Friday, August 10, 2007

Menambat Masa

"aku mahu menambat masa"
ujar lelaki tua itu
"kerana maghrib itu
terlalu singkat waktunya
untuk aku bermunajat"

"bagaimana asarmu?'
tiba tiba dia bertanya
"apakah sudah kau kerjakan
selengkapnya?"

aku, terpaku.

Thursday, August 09, 2007

Larikan Aku

laikan aku dari aku
dari cahaya suram itu
dari satu benda
yang bila aku berdiri mengadapnya
aku lihat aku

larikan aku dari aku
dari udara cemas
dari katil itu
yang bila ku baring di atasnya
adalah peluhku

larikan aku dari aku
dari jampi serapah
dari profesional
yang bila aku berdialog dengannya
aku berdiri sesat!

Monday, August 06, 2007

Kebenaran Bercinta

berapakah yurannya?
berapa lama tempoh tamatnya?
jika perlu cinta diadakan pas
berapa had umur
memohonnya?

apakah syarat syaratnya?
berapa jenis kan ada?
untuk pasangan sesama jenis
atau berlainan jantina?
cinta untuk tuhan
bagaimana pula?

ah, jika cinta ada
satu lesen yang membenarkan
berapa panjang pula
barisan penzina yang beratur?

hakikatnya
apabila fitrah
digauli tangan manusia
hanya mengundang padah!

Thursday, August 02, 2007

Ubat Untuk Dunia

seorang tua
perempuan, beraksesori emas
bongkok tiga, lelah
demam belum berkurangan
berjumpa doktor

"Ah! nenek terkena jangkitan,
virus manusia
sangat bahaya, hujungnya maut"

seorang perempuan tua
berjalan perlahan
sambil membimbit plastik
berisi ubat, terngiang dicupingnya
pesan jururawat, manis

"makan ubat ini, namanya taufan
3 kali setahun
ubat ini, gempa bumi
makan bila sakit sahaja
minum ini hujan mansoon
1 kali setahun
ini pula antibiotik
pemanasan global
mesti habis makan"

seorang tua
perempuan, beraksesori emas
bongkok tiga, lelah
demam belum berkurangan
mula memakan ubat
seperti saranan

Wednesday, August 01, 2007

Resah Akal DI Kota Hati

seorang maharaja
gelisah resah
melihat mendung di luar kota

berderap hentak kawat
sepasukan askar diraja
bersedia menerima kemaraannya

awas! ia datang!
awas! ia kan serang!

seorang panglima
lemah berpencak
menentang musuh
yang tidak tenteram

sebuah kota di hati,
seorang maharaja, resah
melihat panglimakan tewas
lalu keduanya bertembung mata

"jika kau menjaga ku dengan baik
tidakkan ku tewas hari ini"
seakan begitu renungannya
menambah gundah maharaja