Monday, March 06, 2006

Sulaman Cinta

Warawiri hati yang dilamun,
jadi serobeh tutur bicara,
bukan semu bila bertentang mata,
kerana itu tuturan ikhlas.

sempuras hitam kini putih,
pilanggu hilang entah kemana,
akibat rasa gelora asmara,
laksana pesona merantai jiwa.

murup bagai kekunang ditengah malam,
muris bukan ditenun besi,
rasa kasih terpahat sudah,
indah teratur dihati sulaman cinta.

- buat adinda ku puteri nor azani dan anakanda ku muhammad amirul adib.

Bengang

Bengang aku masih belum reda,
bengang jua para sahabat,
bukan bengang membuta tuli,
tetapi lahir dari hati,
yang melihat,
saban hari makin sempit,
itu dan ini,
umpama tali penjerut,
menjerut leher secara perlahan lahan.

Kau jua bengang,
namun kerana setia kau pendamkan,
masih jua begitu utuh kesetiaan,
umpama laksamana Hang Tuah,
setia yang tidak sudah sudah,
namun Hang Tuah jua lupa,
dia pernah berkata,
"menurut biarlah bertempat,
mengikut biarlah berakal",
kerana Tuah lupa apa yang dicakapkannya,
maka jadilah ada,
Melayu Mudah Lupa.

Apa guna berbaik,
kalau suka mengungkit?,
apa guna budi sebakul padi,
namun jahatnya setinggi gunung ledang?
apa guna berkuasa,
tetapi tidak berlaku adil?,
apa guna pangkat,
jika hanya mahu menindas?,
apa guna negara,
kalau bukan pelindung rakyat?
apa guna agama
kalau tidak dijulang?

jadi aku bengang