Thursday, November 16, 2006

Gedung Amalan

kenapa masih duduk
di tengah padang becak?
sambil kakimu mengayak lumpur
segeralah bangun
dan berlari

dunia itu ibarat makanan
kenyang itulah tujuanmu
bukan nikmat yang kau rasa
di hujung lidah

hati yang gundah resah
hiba ditimpa musibah
jangan terus melayari duka
bangun,
bersuci dan berwuduklah
berdoa dan berusahalah
tawakal, dunia untuk semua

terangkan hatimu dan lihatlah
dunia ini adalah gedung
tempat tersimpan khazanah amalan
pilihlah buat bekalan
untuk perjalanan ke akhirat
syurga atau neraka

Monday, November 13, 2006

Aku Di Balik Tirai besi

aku
menyusun peluru peluru nafas
di balik tirai besi
di kelam malam seremang cahaya bulan
leka menjahit kata kata hikmah
dengan kusam hitam kuku di jari jemari

aku
bakal mengoyak keangkuhanmu
bakal mencarik carik egomu
akan aku pegang nafas dunia
biar lemas tenggelam kealpaanmu

aku di balik tirai besi
bakal melahirkan seribu kemenangan
nyawa yang kau regut itu
petanda amaran
kebenaran itu adalah batuan di tepi pantai
sekuat mana badai ganas menerjah
tetap tersergam menjadi tapak berpijak.

Monday, November 06, 2006

Yang Maha Pemurah

Dia, Yang maha pemurah
yang baru ku sedari
di saat usia di jilid yang terakhir
apakah bisa
rahmatNya membanjiriku saat ini?
ketika aku berkira kira di dalam sedekah ku
apakah akan
nikmatNya berbunga selama hayat?
ketika aku merungut rungut di dalam syukurku

bagaimana sembahyang ku
yang beralas dahi di sejadah bersulam emas
adakah nanti dilemparkan kembali padaku
umpama kain yang buruk dan busuk?

bagaimana imanku
adakah sehalus sutera binaannya
atau sekeras batu menggerutu
berlumut disalut riak setiap penjuru?

di dalam hidup menjengah petang ini
akan terhapuskah dosa seawal subuh
andai berkejar kejaran membina tembok
sebuah empangan selautan tasbih

tuhan,
ampunkanlah aku.

Wednesday, November 01, 2006

Kepada Satu Rindu

aku kepingin, kepada satu rindu
tinggi menjulang langit
megahnya hingga terbit burung burung hijau
mengerumuni sekitar arasy
megahnya, bagaikan mentari menghampari malam
untuk insan seperti aku
melunaskan dahaga kepada peluang
mencipta rindu kepadaNya

meskipun dunia itu
aku lepaskan pada setiap 5 waktu
bergolek kembali jua ke genggaman tangan
tuhan, kasihanilah aku
lembutkanlah telapak tangan yang berdoa
agar rela melepaskan dunia pada saat mati
sebagaimana rela dengan keras menggenggam ketika lahir

aku kepingin, di sepanjang usia ku
sebuah rindu tiada penghujung
yang menghias atma
untuk ku persembahkan kepadaMu
saat nama ku dipanggil bergema di seluruh alam.

Monday, October 16, 2006

Tiada Lagi tempat Untuk Pergi

tiada lagi tempat
tiada lagi tempat
tiada lagi tempat

untuk berlari
untuk berdiri
untuk pergi

tiada lagi tempat
untuk kami
untuk kita semua

bangkitlah!

Datang Lagi Ya Ramadhan!

Sudah sampai waktu kau pulang ya, Ramadhan?
kenyangkah kau dengan hidangan puasa kami?
mahu kah ditambah lagi?
ambillah terawih ini buat bekalan
juga sunat taubah dan tadarrus
yang ini juga hajat dan tahajjud

sampaikan salam rindu
buat rasulullah junjungan
moga diberi syafaatnya nanti
di satu masa panjang tiada terperi

serahkan permohonan ini
kepada Al Afu
semoga di ampun dosa dosa
kami yang menzalimi diri sendiri

berikan kepada dia Ar Rahman
rintihan kami ini
atas sifat kasih sayangnya
terbela iraq, palestin dan afganistan

bisikkan kalimah kami ini
ya ramadhan kepada dia Al Mujib
moga moga diperkenankannya
memberi lapang untuk kami mencintainya

tunas tunas iman kan sentiasa bercambah
datang lagi ya Ramadhan
akan semuanya berbuah lebat
tahun depan insyaAllah

Thursday, October 12, 2006

Puisi Raja Madah Permaisuri

halim tutur bicara
mewawansabda kita
habis habis duka
hingga luntur resumnya
halus halus sudah renungan
pada kita,
laksana tiada sempurna lagi

akan datang nanti, kah?
bulan jatuh ke riba
hingga tiada tertadah cahaya
seemas madu seemas senja
bagai melur bagai melati
semerbak hingga ilu terincit
duduk pula bersemayam
si jah, sumurung

yojana berbatu batu
jauhnya sekerdip bintang
tatap bulan di wajah jelas
biar unguh rasa di jiwa
tetap mekar muda berbunga
dari angkasa hingga ke jagatraya

Puncak Kembara Ramadhan

adakah bintang tersipu malu
saat aku merenungnya
asyik, setiap malam?

apakah mereka berbisik
sama sendiri
lihat, dia lagi, merenung kita

di hatiku juga bintang,
ada sebutir mutiara
cahayanya amat payah didakap

maka itu,
aku teroka ramadhan ini
menuju puncak kembara

mahukah kalian menemaniku?
menerangi doa
menghampari sujud
menadah titis titis keinsafan
dalam sepuluh malam yang terakhir

Monday, October 09, 2006

Sepinggan Roti Dan Secawan Kopi Politik

sepinggan roti
berinti kaya dan mentega masyarakat
disaji atas pinggan politik
untuk dibaham si perut buncit
gelojoh kerakusan
serpihan serpihan roti yang bertaburan
adalah suara suara kita

secawan kopi politik
bersudukan emas media
mengacau taburan gula gula janji
biar sebati
biar pahit manis berganti
buat sajian anak anak muda
harapan sejarah

sepinggan roti
dan secawan kopi politik
diharap dapat membeli merdeka
diharap dapat menghalalkan cara
menjual maruah

sepinggan roti
dan secawan kopi politik
menjadi sajian pilihan
gantian sepinggan nasi lemak
dan secawan teh keadilan

Sunday, October 01, 2006

puasa ini

aku jadikan puasa ini
sebagai guru
dalam mendidik jiwa bersalut nafsu
lekatanya biar sabar mengupas
biar gugurnya bagai sisik ikan
bertaburan di takungan kekesalan

aku jadikan puasa ini
sebagai panduan
kepada hati yang semakin lupa
bersama pahat keinsafan
akan ku garapkan semula
peta ke arah kiblat berparut kekal

aku jadikan puasa ini
sebuah tasik dingin
jadi rendaman kepanasan kaki
yang selama ini memerah bara neraka
biar sejuk menggigil
untuk layak berpijak di atas sejadah

aku jadikan puasa ini
sebagai latihan
merasa apa yang saudaraku rasa
melatih diri melepaskan dunia
membina terusan ke akhirat
menyiap iman agar bersedia
demi satu peperangan di akhir zaman

Q, Melukis Rindu

bagaimana melukis rindu?
soal Q pada suatu petang, saat sedang elok awan membiru
saat sedang lembut angin menyapa rumput.


kenapa mahu melukis rindu?
soal ku kehairanan, lantas Q menarik hujung baju ku,
dengan tangannya memegang berus, dia merujuk pada ku
lukisannya.


ini cinta,
bagaimanakah mahu melukis rindu?

aku tersenyum, memahami perasaan hati keanakannya,
mata kesilnya memandangku penuh pengharapan.


kenapa lukis cinta begini?
kerana hati rasa begitu.


nah! kalau begitu,
boleh saja melukis rindu

bagaimana?


sepertimana melukis cinta
dengan rasa dan hati
dengan kenangan abadi
rindu juga seperti cinta
lahir dari hatimu


dan Q mula melukis, asyik penuh rasa
hingga waktu pun bagai terhenti, mendengar luahan hati seorang anak
berus di tangannya bercerita, perihal anak kecil yang menanggung beban dunia
sayunya hingga awan berubah warna


kenapa ada bintang?
itu rindu, untuk mama
bercahaya di tengah kelam, agar dia tahu
Q rindu padanya


Bulan?
itu kasih, selembut sinaranya itu
seperti hati papa...


dan hujan mulai rintik
dari awan matanya
jatuh titis demi titis
membasahi rindu dan kasih
membanjiri cinta
Q menghamburkan dukanya kepangkuanku
sekejap saja
di luar meyambung lebat hujan


aku biarkan dia menangis
walau acapkali tidak pernah ku halang

menangislah Q, sepuas hatimu
airmata itu bakal menjadi tembok, lambang ketabahanmu
menangislah sementara kecil ini
remaja nanti kan ku ajar kau menangis melalui senyuman
tirai kepada kedukaan.


Thursday, September 28, 2006

Q, Bawakan Ia Kepadaku

Q, bawakan ia kepada ku
ya, cinta itu
Q, berlari lari anak
sambil mengendong cintanya
tubuhnya yang kecil
kemudiannya duduk di sebelahku
biarku lihat apa kurangnya
jika pudar mari kita gilap
moga bersinar seperti bintang

seperti itu?
tanya Q sambil jari kecilnya
menunjuk kepada bintang yang bertaburan
di pekat malam
ya, kata ku
biar bersinar seperti kasih
seperti rindu
seperti kunang kunang
di telapak tangan

Jika tiada kasih dan rindu?
tanya Q
mampukah ia bersinar, cinta itu?

ya, kataku
sambil mengilap
asalkan di hatimu ada
asal di jiwamu percaya
asal tiada berputus asa

nah! lihat, sudah bersinar

Q girang
dia memeluk cintanya yang bergemerlapan
di lambung sambut cintanya berulang kali
sambil tertawa riang

aku tersenyum melihat gelagatnya
dan hati ku berkata
perjalananmu masih jauh Q
senyumlah jika ada payah
itu kunci kepada bahagia
jangan duduk beralas duka
jangan berdiri di anjung derita
berlarilah ke kaki pelangi
berserah dan berdoa
cinta untukmu sentiasa ada

Pesta Ibadah

sayup sayup terdengar
panggilan merdu
saat mentari memberi izin
syaaban pun merestui
memulakan sebulan
pesta ibadah

berduyun duyun datang
tua, muda, muslim dan muslimah
mahu menurut serta
acara gilang gemilang
pesta ibadah

mulanya dikir terawih
kan bersambung witir
tahajjud pula mengambil alih
berduet bersama sunat taubah
barisan tadarrus pula memecah sunyi
pesta setahun sekali ini
menjadi saksi
kejadian malam yang tiada lena
hati menjadi girang
iman bersantapan zikrullah

gegak gempita iman
suara sorakan taqwa
bergericau memecah hening
semua menyaksikan
berdentam dentum tertutup pintu neraka
berkeriut terbuka pintu syurga

di atas pentas ramadhan
yang tiba di kemuncak acara
ramai ramai menanti
ramai ramai menyeru
memanggil manggil
menyambut dengan penuh rindu
munculnya lailatulqadar
yang diiringi sepelusuk cahaya
para malaikat memenuhi daratan

munajat syukur kami hambaMu
di atas anugerah tiada terhingga
kenikmatan dan keindahan
iman dan taqwa

Malam 27 Ramadhan

bertaburan nanti
ketika kehadiranku
anugerah dan rahmat
untuk dikutip
buat bekalan

berduyun duyun kan turun
dengan cahaya gilang gemilang
para mailakat
menyertai ibadah

pada perjalanan pulang
aku menyaksikan
anugerah dan rahmat
mula berciciran
dari hati yang mula lalai
hanya kerana sedikit
kecil kocakan riak

di dalam kemuliaan ku itu
turunnya kitabullah
aku yang lebih baik
dari seribu bulan
engkau ganti kemuliaannya
dengan sekotak kayu
bergambar dan bergericau

terbit suria pada pagi itu
dengan putih bersih
lembut sinarannya
adakah sampai rahmatNya
di hatimu?

carilah aku umat muhammad!

ketahuilah
ketika engkau merasa sayu
menangis teresak
saat itu berbahagialah
kerna jibril sedang bersalam denganmu

Sunday, September 24, 2006

Maruah Menangis

di tengah kalibut dunia
manusia bagai kalkatu
bergelimpangan merata
mencari cahaya
samar samar masa hadapan
gugur dengan sayap terlerai

lantaran,
maruah menangis
sanjungan telah sirna
bertakhta hanya kini
di hujung mata
di hujung tanduk
di hujung nyawa
asing di dalam kenal

hatinya dipanah kelodan kesesatan
bersimpang siur
badannya diracuni ideologi kemurkaan
berbuku buku
matanya dirobek dosa agungan
bertalu talu

maruah terhenyak
di bawah hujan rahmat
ia dihina
ia merintih sayu
datang kerinduan tiada penghujung
paza zaman rasulullah junjungan

tika ia dijaga
dibelai dan dimanja
bukan dibiar sendiri
dispeak terajang
ibarat sebutir sampah

Tuesday, September 19, 2006

Pesan Ku, Yahudi

aku menunggu saat itu
dalam masa yang terlalu lama
sepuluh laras senapang zikir
setia mencium tasbih

aku menjaga bara hati
agar syahid itu
kesejukan tidak

ingat pesanku yahudi!
semarak amarah di jamung iman
akan menerjah kekebalanmu nanti
belerang jihad sepenuh matari!

Monday, September 18, 2006

Aku Tinggalkan Kepadamu

aku tinggalkan kau
hutan rimba
rumah unggas dan mergastua
tatkala kau memegangnya
cucilah kedua tanganmu
dengan amanah

aku tinggalkan kau
dengan lautan
tempat bersemayam sejuta asrar
harus kau tahu ianya cermin
untuk kau lihat
langit tiada terdongak

aku tinggalkan kau
dengan iman
dulunya bertatih alif, ba dan ta
solat itu kunci kepada doa
solat itu benteng terakhir
dalam menghadang dosa

Sunday, September 17, 2006

Malam 27 Ramadhan

bertaburan nanti ketika kehadiranku
anugerah dan rahmat
untuk dikutip
buat bekalan

berduyun duyun kan turun
dengan cahaya gilang gemilang
para mailakat
menyertai ibadah

pada perjalanan pulanga
ku menyaksikan
anugerah dan rahmat
mula berciciran
dari hati yang mula lalai
hanya kerana sedikit
kecil kocakan riak

di dalam kemuliaan ku itu
turunnya kitabullah
aku yang lebih baik dari seribu bulan
engkau ganti kemuliaannya
dengan sekotak kayu
bergambar dan bergericau

terbit suria pada pagi itu
dengan putih bersih
lembut sinarannya
adakah sampai rahmatNya di hatimu?

carilah aku umat muhammad!

ketahuilah
ketika engkau merasa sayu
menangis teresak
saat itu berbahagialah
kerna jibril sedang bersalam denganmu

Iman

"ia sudah tiba."
masa yang dinanti nantikan
telah datang
dengan senyuman dan salam
iman lantas bangkit
keluar dari persembunyiannya
di satu ceruk gelap sekeping hati

iman membega
cahaya ramadhan bagaikan suria
membasahi wajahnya
berdikit dikit
terang bermaharajalela

"sebulan!" bisik iman
sebulan ini aku mahu
mewarnai hati ini
dengan hijau biru dan putih
kan kuhampari lantai kering ini
dengan sejadah
kan kuhiasi dinding yang merekah ini
dengan kalamullah

seketika,
terdengar ketawa yang azamat
itu nafsu!
"iman! hati itu milik aku!"
"milik aku!"
"milik aku!"
bergema dan perlahan hilang

ah! aku tak perlu gentar lagi
hikmah taubat nasuha
kan kucuba sedaya upaya
calak hati ini
takkan kubiarkan lenyap
hingga sampai ramadhan yang seterusnya
dan seterusnya
selama lama.

Friday, September 15, 2006

Mesra Resah

mesranya resah
mengulit ulit di hujung jari
bagaikan anak kecil
cuba mengait manja

aku tidak betah
duduk berayun sendu
atau berdiri di tengah pentas
mendendang lagu sayu

tinggallah kau di situ
aku mahu berlari
melangkau gunung
memijak lautan
melompat ke bintang

jika kau mahu menurut
tidak kan ku halang
untung untung resah,
engkau kan matang
menjadi bahagia