Wednesday, September 13, 2006

Kertas RIndu Yang Putih

saat hujan mulai renyai
masih setia dia di situ
di palang besi sebuah hentian
duduk menunggu
sedang ituair air bertakung
di tepian jalan di tengah metropolitan
terpecik gatal terliur
mendakap putih betisnya

bilakah? bilakah?
mana janji?
sudahkah diutus?
atau masih belum dilakar
kertas rindu itu masih lagikah putih
tidak tersentuh?

saat matari mula terjaga
membuka selimut awan yang mendung
kuapannya menyimbah cahaya
ah! hujan pula di hatinya

Tuesday, September 12, 2006

Si Tukang Provokasi

dentum dentam
bising si pahat
kentung kentang
bising si tukul

riuh memahat
rumah tegaknya tiada
riuh menukul
hasilnya habuk semata mata

siapa memahat?
siapa menukul?

oh! si tukang provokasi rupanya.

Monday, September 11, 2006

Ingin

lantas ku berjalan
mengharungi lautan manusia
mencari sebuah kehidupan
tulus

masa berlalu pergi
aku terlewat
pada sebuah pintu
yang terkunci

katanya, angin yang berlalu
itu sapaan alam

ingin ku tulis rahmatMu
merah di atas dada
tertera di langit cerah
dunia

ingin ku sebut namaMu
pada setiap masa
untukku tahu bilamana
resah datang

ingin ku capai bintang
menyinari hatiku
menjadi sumbu yang menyala
di jiwa gelita

Saturday, September 09, 2006

Saegheh

lahirnya,
di tengah kalut dunia

acuannya,
darah mereka
marah kita
doa ummah sejagat

saegheh
ketarkan lutut mereka
dengan pekikanmu
hingga runtuh tembok durjana
biar kecut gagah mereka
biar kuncup megah mereka

saegheh
jadilah petanda amaran
sarang itu jika dicuit
segerombolan tebuan kuning
kan datang menyengat!

Thursday, September 07, 2006

Bola Yang Ku Lontarkan

bola yang ku lontarkan itu
adalah kata kata peringatan
yang digumpal dari cebisan cebisan kain
ciciran amanah mereka

bola yang ku lontarkan itu
adalah susunan ayat ayat teguran
yang ku ikat kemas
hanya dengan 5 tali hijau

bola yang ku lontarkan itu
adalah pesana
dalah peringatan
adalah teguran

mengapa lohong tapak tanganmu?

Sunday, September 03, 2006

kekecewaan

mereka mahu dibentangkan
bukti kata di dalam bentuk
angka dan fakta bersurat
bertaip kemas kalau boleh
dicop dengan rasmi
pegawai berkenaan
mesti mengikut saluran protokol
tidak mesti tidak
laporan isu itumesti lengkap sama seperti
seorang pelajar universiti
menyiapkan tesisnya

jika tidakbenang yang basah tidak boleh di tegakkan
jika siap semuanya
lengkap mengikut protokol
adakah benang yang kering
dapat jugakah berdiri tegak?

mereka alim bagai katak ditepi air
berhujah membelakang quran dan sunnah
namun tetap juga disokong hebat
demi dan untuk apa?

nantikanlah,
natijah kebohongan kalian.

Friday, September 01, 2006

Ad

dan terbaliklah sodom
dihujani ia dengan batu batu
dari tanah yang terbakar
"rasalah azabKU dan kesan amaran amaranKu
dan demi sesungguhnya!
mereka telah di timpa azab yang kekal
pada pagi pagi hari (esoknya)"


sebelumnya

diangkat sodom itu
oleh jibril dengan kedua sayapnya
hingga mencecah awan
hingga terdengar para penghuni langit
akan rintih binatang binatang di tanah itu
yang kesemua manusia telah dibeku kaku

sebelumnya

meraba raba mereka pulang ke rumah
menjadi buta mata mereka
akibat ditampar oleh jibril
atas tingkah laku kasar
biadap di hadapan Nabi Lut

sebelumnya

tinggallah Ad di Sodom
dikurniakan mereka badan yang tegap
dan ketangkasan yang tinggi
diutuskan kepada mereka, Lut
membawa cahaya keimanan
menyedarkan mereka tentang kebenaran iman
mengajak mereka meninggalkan perbuatan keji
mendatangi sesama jenis

tidakkah sama kita sekarang?
dalam pada riuh menjana keselesaan
kaum Ad mula berkembang biak
ingatlah, balasan tuhan itu amat cepat
tidak kira siapa
walau di mana sahaja
pada bila bila masa.

Saturday, August 26, 2006

Q, Hidup Begitulah

Q, hidup begitulah
ada pasang surutnya
dari dendam ombak tsunami
reda hingga pepatung terbang riang

masih lagi kau melakar rindu?
sedih itu masih lagi liar
belari di dalam kongkongan hatimu?

kau harus tahu
benih benih bahagia sedang bercambah
sedang menanti senyumanmu
untuknya berbunga

atau,kau mahu mengikut aku?
kita membonceng angin
bertanyakan perkhabaran dunia
daun daun yang berguguran itu
apa yang dirindunya?
kita sapa bintang bintang
kau tanyalah mereka
di dalam kesepian itu mengapa tetap bersinar?

Q, hidup begitulah
andai tertunai segala hajatmu
nescaya akan hilang kasih sayang
yang sedang bercambah di dalam hatimu

Merdeka Kali Ini

merdeka kali ini
biarlah lumpur lumpur itu tetap basah
itu asal kita
penat dan lelah
kasih dan sayang

barlah anak anak muda bergelumang didalamnya
biarkan mereka menghirup bauannya
semoga mereka kenal dan tidak lupa
kesenangan dan kebahagian
perlu turun berjuang sehabis daya

merdeka kali ini biarlah yang bergema itu
suara sahutan para makmum
menggantikan loceng dan sorakan
tutuplah lorong lorong kegelapan
agar kesampingan kaki kaki melangakah
agar lalai dikecapi kesepian
semoga rindu kita lebih lagi
kepada Dia maha pencipta

bebaskan minda kalian
dari kongkongan karat besi
dari belenggu rantai demokrasi
islamkan sekularisme
samakkan seluruh negara

merdeka kali ini
cucilah sungai sungai menjadi jernih
itu hati kita
bersih dan tenang
menjadi cermin kepada alam

biarlah ikan ikan berenang renang di dalamnya
hidup harmoni dan selesa
penat lelah kita, sungai itu lah rehatnya
biar anak cucu semua hayati
apa yang moyangnya dulu rasa

merdeka kali ini
jemputlah patriotik kembali.

Thursday, August 24, 2006

Gadis Kedai Manisan

dia duduk disebelahku
penuh kepayahan menelan sendu
dan boleh ku rasa
gegaran gerabak keretapi yang lalu
mengejar masa

matanya bercerita
sedang bibirnya diam
hatinya bergelora
walau ini bukan kali pertama
tetap bukan kepalang

bolehkah memberitahu
bagaimana ini terjadi?
dan tuhan sahaja yang tahu
dulu hati ku umpama kedai manisan
kini tergantung tanda
maaf, kami tutup

dan aku boleh mendengar diriku berbicara
kata kata yang beku
kerana tuhan juga tahu
aku telah menutup kedai manisan suatu ketika dulu

kita semua berkata
tentang masa menyembuh luka
dan untuk hati yang berkecai
ia hanyalah angin lalu
tiada lagi makna

hadir kini katanya,
seorang doktor merawat cinta
dan kecewa
manalah aku tahu
dia tidak melihatkan tanda
maaf, kami tutup

Tuesday, August 22, 2006

Ini Bukan Kehidupan!

saudaraku,
khabarnya yang terkecil sekali bermimpikan glamor
manusia bergemerlapan seperti bintang
menjadi ikutan
kita menelan esok apa yang tinggal hanya kekosongan
kita menternak keganasan dan haloba
membiarkan mereka beranak pinak bermaharajalela
sementara waktu, aku melihat suasana
ibu bapa mengorbankan anak anaknya
hingga hilang rasa cinta
para hipokrik bersembunyi di balik kaca tv
"angkatkan tanganmu, ini satu rompakan!"
ah! ini bukan kehidupan!

sini satu penjara kita terperangkap
lucutkan segala pakaian maya
mari ikut aku kita pergi mendengar
apa yang dibincangkan oleh musuh kita
dunia sudah adar sedarlah!
ini bukan kehidupan!

senjata dilahirkan tanpa henti
lenyapkan satu bangsa untuk terhentinya satu pembunuhan
mereka saudara kita jangan dilupa
berdarah mereka, nanah juga di hati kita
dari situ munculnya kesepian seorang anak
yang bertatih menjadi pedang nyawa
sedang anak anak muda kita memijak mijak ilmu
menjadi pahlawan ayal, tewas di depan pintu gendala
jangan dilanggar isyarat merah
jangan lupa juga membaca segala petanda jalan
ini untuk kamu yang menyemarakkan neraka
tidak sepatutnya dura menjadi hadiah hari lahir ibumu
ubahlah caramu ikutlah nasihat yang terdahulu
ini bukan kehidupan!

Friday, August 18, 2006

DI Bawah Payung Yang Berlubang

di bawah payungmu itu
yang berlubang dan tercabut jejari besinya
bila hujan, menitis air ke muka
bila panas, teriknya tiada beralas

di bawah lindungan itu aku
yang cuba membuka ikatan
tangan yang terikat pada pemegang
payungmu yang berlubang dan tercabut jejari besinya

nanti, akan ku lemparkan payungmu itu
sebagaimana engkau lemparkan maruah
agama dan bangsa
nanti, kan ku pijak pijak ia
sepertimana engkau memijak
menidak nidakkan yang hak

di bawah payungmu itu
yang berlubang dan tercabut jejari besinya
akulah di bawah lindungannya
yang tercemar maruahnya
meronta ronta membuka ikatan
untuk ku lempar payungmu itu
ke dalam jurang yang paling dalam
supaya dapat ku sambut kemerdekaan
dalam erti kata yang sebenar

Thursday, August 17, 2006

Q, Mendung Sedikit Hari Ini Ya?

Ku kira sapaan ku tadi
menumpahkan setitis embun di kelopak mata
yang lama bergenang dan berjuntai

mendung hari ini?

paling mendung
paling sedih
katanya

ah, halus benar jiwa yang satu ini
jika direnung
kan ternampak urat urat benang
yang bercantum kemas
genggam maka rosaklah ia
lepas maka jatuh berderai pula

tak apalah
sekali sekali mendung
terlindung jiwamu dari terik mentari

Ku kira sapaan ku ini
menumpahkan setitis embun di kelopak mata
yang lama bergenang dan berjuntai

bila bila kau mahu sinar suria menjelma
senyum sahajalah.

Diari Seorang Penagih

sabtu
malam ini entah untuk berapa kali
bermunajat dan menangis
bersama getar di bibir
sehalus bahasa ku sampaikan ucapan
selamat hari jadi mama
untuk kali kelima

ahad
tidak juga buta mata ini
selama terperangkap di sini
di dalam kotak tanpa masa
jika dikumpulkan airmata ini
bisa menjadi sungai
bisa menjadi tasik
namun tetap aku tahu mama
tidak tertanding dengan apa yang kau rasa
lalu ku kirimkan sayu pengampunan
yang tiada pernah engkau balas mama

isnin
kaki ku langkah paksa
setiap langkah terimbas kenangan
dari kecil yang ku ingat
hingga dewasa
hingga pandai ku
menghempas hatimu ke tanah

lamunan terjenti
bila keriut pintu itu menyapa
seutas tali mula menyeringai
seolah berkata "ini balasanmu di dunia"
5 saat pertama ia menjadi kalung
kemudiannya menjerut
adakah seperti sakitnya hati mu mama?
aku berharap agar mereka tidak lupa
pesanan terakhirku;
mahu bersemadi di sebelah mama
untuk ku memohon ampun
sehingga hujung nyawa dunia

Tuesday, August 15, 2006

Permintaan Ku

keluh kesah kehidupan
batas perbuatan dan cara
usaha lenjun baju yang lusuh
bunga berkembang tiada
cukup hujan dan panasnya
mungkin izin belum diterima

Ya Allah, ya tuhanku
keluarkanlah aku dari kesusahan ini
sepertimana Engkau izinkan
tumbuhnya rumput rumput hijau
pada celahan bata bersimen

Ya Allah, ya tuhanku
keluarkanlah aku dari kesempitan ini
laksana Engkau memberi izin
terkeluarnya Nabi Nuh
yang teperangkap di perut ikan

Ya Allah, ya tuhanku
tunjukanlah jalan
mana salah dan silap jika ada
berilah keizinan lapang menyinggah
sama seperti terbukanya api
dan melangkah keluar Nabi Ibrahim

Ya Allah, ya tuhanku
jangan biarkan hati ku buta pada hikmahMu
jangan biarkan lidah ku mengeluh pada ujianMu
jangan biarkan aku tersungkur menunduk pada dunia
sebaliknya berilah jalan dan peluang
untuk ku memijak kepincangan dia

Thursday, August 10, 2006

Bukakan Padaku Satu Pintu

di suatu senja dingin mulai manja
mentari merah pun menghilang
siddi menjelma malam pun tenang
namun hatiku tetap gelisah

hangat membara kenangan silam
membuai resah berpanjangan
apakah ada satu ketentuan?
cinta yang datang enggan bertamu

kian membakar rindu di hati
kian kau jelma di angan dan mimpi
bukalah pada ku hanya satu pintu
untuk bahagia bertemu

masih berlagu memori kita
lenakan mata sementara
usah diterbit embun airmata
biarlah tertutup tirai cerita

Sunday, August 06, 2006

Sayap Aksara Bertinta Merah

aku mahu merentas lautan
dengan jambatan yang dibina
dari susun atur bahasa ibunda

aku mahu merentas dunia
dengan sayap aksara
yang dijahit bersama
tinta berwarna merah

mahu mencapai langit
ketujuh
dengan keindahan syair

aku mahu semahu rasa
mengenggam hatimu
hanya dengan bahasa
sebaris kata

Thursday, August 03, 2006

Berkali kali Demi namaMu

ambilkan puing puing besi yang bertaburan
nah, paterikannya di lengan ku
dapat ku cantas nanti kepala kepala mereka

ambilkan dahan dahan kayu yang jatuh itu
tidak perlu padamkan api yang membakarnya
lekatkan saja di kaki ku ini
mampu ku berlari semula menghambat jentera mereka

kutipkan semula cebisan tubuh tubuhku
cekupkan nyawaku yang sedang perlahan melayang
cantumkan semua kembali satu persatu
saat celik mata ku ini nanti
bisa aku mati berkali kali demi namaMU.

Sesuatu Di Hati

ada sesuatu di dalam hati
nipisnya seperti buih buih ombak
lemahnya hingga dihempas le pantai
berpecah belah

ada sesuatu di dalam hati
mula merekah dan retak
hablur hablur bertaburan
menjadi pasir pijakan kaki

ada sesuatu di dalam hati
yang menjadi malap
yang bernafas susah
degup degup jantungnya
mula perlahan

aku gentar di sana nanti
kita mempersembahkan hanya
timbunan puing tiang tiang yang lima
sedalung serpihan bercahaya bukannya pudi
sebuah bejana yang lapuk dan berlubang
sehelai sutera dipenuhi tampalan

Tuesday, August 01, 2006

NamaMu Itu

aku seru Al-Azim
namaMu itu menjadi ratib
ketika jari jemariku mengulit tasbih

jadikan aku seperti namaMu itu
agar bisa aku berdiri gagah
supaya dapat aku mengheret porak peranda
dan ku sumbat ke dalam lubang hitam
agar bila aku bersuara
dengarnya hingga ke kutub utara
bisa tergoncang matahari
bila ada si pembuat dosa
malu dia pada kiri dan kanan

izinkan aku menjadi seperti namamu itu
tinggi sanjungan yang diberi nanti
akan ku tukarkan ia
dengan rapatnya barisan saf
dengan berayunnya tangan tangan
para muslimin dan muslimat
menyapu bersih lalai yang bersawang

aku seru Al-Azim
namaMu itu
membasahai bibirku
jadikan aku seperti itu
agar nanti cair
tujahan peluru peluru dengan jelinganku