Tuesday, January 30, 2007
Bisu Kita Dan Bisu Dia
senyap itu adalah pengantarku
namun bila ku bersuara
bisa menjentik hujung hatimu
aku buta
gelap itu temanku
namun bisa ku lihat
segala keji dan nanar dosa
aku pekak
sunyi itu duniaku
namun tetap ku dengar
degup gemuruh jantungmu
kau pun jua
bisu bila bersalah
buta bila tamak
pekak bila hilang amanah
Jeritan
bagi mengejutkan
seribu daya kebangkitan
atau mungkin (terlalu) perlahan
kedengkelan lenamu itu
keruh dengkurnya membingitkan alam
bangunlah!hering sedang mengelilingi kita
lalu ku simbah petrol ke atas tubuhmu
(ke atas lenamu)
"mancis mana mancis?"
Sunday, January 28, 2007
Terbang
bukan dengan sayap sepertimu burung
tapi seperti dia
dengan jimat cermat
jerih perih nelayan
aku mahu rentas
lautan tenang kebiruan
bukan selam sepertimu paus
tapi dengan layar seperti dia
hadiah dari dosa dan haloba
itu pun,
jika aku ini menteri
itu pun,
jika aku sudah buta
aku mahu terbang
bukan sepertimu unggas
tapi seperti dia
dengan penafian
kemelaratan marhaen
Friday, January 26, 2007
Pesan Untuk Pagi Dan Malam
wahai pagi
bukan dengan loceng
atau irama keluhan
tetapi dengan azan
subuh menuju kejayaan
sambutlah dunia
bagai belon berisi air
temankan aku
wahai malam
bukan dengan mimpi indah
atau dengan senda guraunya
tetapi dengan niat
menikmati 1 pertigamu
genggamlah akhirat
bagai nyawa dihujung ubun
Thursday, January 25, 2007
Musi(m)bah
terbongkar asrar
mencabar kata
mana, mantera?
musibah di musim bah
adalah tamparan
pada lalai dan lupa
menunjal bongkak
mana, alasan?
musibah di musim bah
satu tuntutan
dari tuhan
kepada manusia
mana, janji di azali?
Tuesday, January 23, 2007
Cinta Di Jilid Terakhir
hanya ada abu
dari memori yang terbakar
batu batu kerikil
berselang serpihan kaca
kasih yang berderai
kain kain putih
dikerat dua
cinta di jilid terakhir
hanya ada kubur
untuk tiga perasaan
memaksa merpati keluar dari sangkarnya
Semua
mencuri setiap nafasku
mengalih pandangan diri
saat mula rindu berbunga
cinta yang kau sisipkan
menjadi melodi terindah
untuk ku binakan semula
kota hati yang telah termusnah
cinta yang dihadiahkan
menari lagu kasih sayang
semula sepi berlalu pergi
tinggal kini hanya mentari
oh semuanya
kini aku berjanji
padamu pemberi cinta
aku hadiahkan segalanya
oh semuanya
kini aku menjadi pasti
dunia kelam menjadi indah
seindah masa pelangi tiba
cinta yang ku berikan
jadikanlah memori indah
jangan mekarnya sementara
moga kita kekal bersama
Saturday, January 20, 2007
Penantian Yang Terlalu Lama
masa melewati perbatasan usia
dikeliling saujana permandangan
keindahan kenangan
di tengah tengahnya duduk sekeping hati
kejap menunggu panggilan
seruan perjuangan entah bilakan tiba
perjuangan itu
adalah satu penantian yang terlalu lama
calak lilin yang terbit
dari jiwa jiwa yang runtuh
terliuk liuk ditiup badai
mulai padam satu persatu
perjuangan itu
sudah bermula setiap sekian
pada jeritan yang tercium
pada jejak kaki ketakutan yang berlari
saat ketika semua mengunyah leka
perjuangan kita
tiada medan,
tiada senjata dan kereta kebal
hanya pena, suara dan bahasa
Thursday, January 18, 2007
Seorang Ayah Dan Empat Orang Anaknya
seorang ayah
mundar mandir
di kaki lima
sebuah hospital
benih di hatinya marah
tidak dapat bersama
isteri tersayang
memegang ronta
pertarungan melahirkan cahaya
"duduklah ayah"
"tenteramlah ayah"
"serahkan pada tuhan!"
kata anak anak lelakinya
yang pertama, kedua dan ketiga.
gelombang resahnya reda
mendengar merdu suara tangis
hatinya yang gundah gersang
bagai disirami hujan bukan gerimis
syukur tuhan
genap empat anak lelakiku
syukur tuhan
genap jugalah padaku empat putera
bakal mengusung kerandaku nanti
mengadapMu.
dan,
bergemalah azan
menyambut dan membelai mesra
sehelai kain putih.
"putih,
tatkala aku menyambut mu
putih jugalah
bila kau memimpin ku pulang."
Wednesday, January 17, 2007
Apa Nama?
gagap mencari kata
atau satu kenyatan?
mahu bercuti di panama
apa nama, apa nama
gugup mencari alasan
atau satu rintihan?
"apa ama", "apa ama"
apa nama, apa nama
sentak fikir sejenak
mencari dalam minda yang kosong
apa nama bangsaku?
Sunday, January 14, 2007
Jiwa Jiwa Yang Merusuh
disapa duri duri
kemerdekaan
naungan pendusta
jiwa jiwa yang runtuh
pun merusuh
meluru pada kebebasan
mawar kebangkitan
sebuah penderhakaan
kepada kezaliman
sekuntum apinya digeruni
Tuesday, January 09, 2007
Ada Apa Pada Suara, Kopi Dan Tivi
pada suara
sayup sayup berterbangan
atau pada sisa roti
berselerakan dikeliling pinggan
pada susunan penipuan
yang dicetak berterlanjang
menggoda kepercayaan
apa ada
pada puluhan jiwa
yang terkorban bersama sisa
judi, petrol dan monoksida
perampasan berilmiah
secawan kopi atau teh atau sirap
sekeping kertas berwarna biru
berganti timah atau puas
sebagai baki
apa ada
dibalik kaca tivi
atau radio dan majalah
mukim perompak
sebuah bangsa
yang berpangkat dan berdarjat
mengelola taman indah
tanpa air dan baja
Sunday, January 07, 2007
Sakit Mulut Orang Kita
bukan sakit kerana bohong
atau tipu berjanji kosong
sakit mulut kerana jujur
sakit mulut kerana luhur
sakit mulut orang kaya
jumpa doktor dapat bonjella
sakit mulut orang kita
kumur masin garam batu
apa lagi nak dikata?
cakap tipu mudah percaya
janji manis terpedaya
pusing kata keliling kota
hingga gula tiada jumpa
apa lagi nak bicara?
sakit mulut orang kita
tentang runtuh tanah merah
tentang turun harga minyak
tentang surut duit belanja
sakit mulut orang kita
jumpa doktor dapat bonjella
balik rumah kita pun lupa
kumur masin garam juga
Saturday, January 06, 2007
Kasih Umpama
untuk seri senyuman
kerdipan bintang atau sinar rembulan?
aku mencari padanan
sama redup sinar matamu
titisan cahaya matarikah
atau gemilang sinar embun?
aku mencari padanan
buat kasih mu sepanjang hayat
lebar sayap awangan
atau sebiru lautan tenang?
untuk kasih umpama mawar
teduh sepohon nan rendang
sedamai tasik yang terbentang
aku mencari padanan
dalam cinta dan kesyukuran
buat membimbing doa
agar sentiasa berkekalan
Thursday, January 04, 2007
Hadiah Untuk Pak Menteri
oleh seorang rakyat
ikhlas di hatinya
buat pak menteri
sempena harijadi
sebuah hadiah tanda penghargaan
beratus ringgit tiada berkira
mengenang jasa dan bakti
seorang pak menteri
sempena harijadi
sekeping kad ucapan
terlekat kemas
tersusun bait bait kata
dari hati seorang rakyat
ikhlas kepada pemimpinnya
pak menteri girang
menerima hadiah
rakus membuka balutan
senyuman manis bertukar kelat
demi terlihat di dalam kotak
sepasang alat bantuan pendengaran
lalu dicapai kad ucapan
tertera kemas baris tulisan
"buat bapak,
menteri tertinggi
semoga dengan hadiah ini
akan lebih mendengari
keluhan kami, rakyat sendiri"
Wednesday, January 03, 2007
Perjalanan Mencari Kejayaan
seperti lazimnya menemui senja
kelana lima saudara
perjalanan menemui kejayaan
sedang matahari mengadap tuhan
duduklah mereka menghirup malam
bergulakan bintang
"sampai bila lama kita disini?" luah cita cita
"jika begini kelakuannya tiada kesudahan kita bertemu kejayaan"
syukur hanya tersenyum
manusia sedang lena terbaring
aman seperti kakinya berlipat di atas lagak tuan
senang dia berjenaka dengan mimpi
sedang rungut seperti selalu
meratah nafsu
"duhai rungut, belum kenyangkah dikau?" soal syukur
rungut hanya mengeleng
kata katanya bungkam dikunyah
"ayuhlah syukur, kita maju dahulu" ajak cita cita
"rungut nanti pesankan pada manusia, kami berangkat dahulu
kita bertemu nanti di sana bersama kejayaan"
maka tinggallah manusia
masih terlena dijenakakan mimpi
sedang rungut hanya mengangguk
pesanan itu bungkam bersama nafsu
menjadi bahan kunyahan
Monday, January 01, 2007
Jika Aku Mati Hari Ini, Maka Ini Dendangan Terakhir Ku
saat ini hatiku tirus kepadamu
isteri ku yang tersayang
aku tidak mampu menjadi perdu
tempat gantungan kasih kasihmu
kerana itu aku memohon maaf
andai harapan bahagia
jatuh menimpa belas
namun dalam kehebahan dunia itu
aku mahu mengucup terima kasih
di atas dahi bersihmu
walau dimana tidak bisa berganti
sisipan bekal cinta yang kau berikan
terima kasih pada senyummu
walau bukan ubat
tapi ia kain yang membalut luka ku
terima kasih pada hatimu
yang menjadi hamparan perbaringan
cintaku yang tersesat
terima kasih pada sentuhanmu
senang senang ia memperlahankan badai
aku ditakdirkan goyah
dalam mengalas keutuhan bahagia
jika aku mati hari ini
maka ini wasiatku
jagalah benih cinta yang sedang subur mekar
moga menjadi perdu segagah satria
jika aku mati hari ini
maka ini dendangan terakhirku
selayang surat cinta yang sentiasa ada