Thursday, June 29, 2006

selalu lupa

selalu
kita terlupa
pada burung riang kicaunya
tiba tiba hilang

selalu
kita terlupa
pada unggas harum kemboja
kenapa kering rerumput hijau?

kita manusia
selalu lupa pada alam
sahabat kita
langit itu bumbung teduh
pada laut luas terbentang
kini hilang hutan rimba

kita manusia
merenggut nyawa bumi
saudara kita
selalu lupa
sakit pening pada batuknya
hingga mengalir kahak merah

selalu
kita terlupa
pada bayu alunan muri
sedang muris menguasai diri
hingga hilang

rengit dan,
sarirah.

Wednesday, June 28, 2006

7 Kalimah

datanglah juga
badai yang kehausan darah
merempuh paksa di tanah merdeka
duduk bersimpuh minta dilayani
dengan marah, benci, dendam dan nyawa

hujan merintik mula membasahi
di tengah bandaraya yang rosak binasa
apa dulu menara tertinggi
kini debu
apa dulu dataran tempat bersorak suara merdeka
kini pilu
kini hancur
kini basah
kini resah
mata mata meliar dulu yang suaranya gegak gempita
kini diganti cengkerik malam

hujan tiada tanda berhenti
dan berdirilah seorang manusia
di belakangnya ribuan peserta
berdiri sunyi tanpa suara
mengenggam besi, kayu, batu dan kaca
yang cuba menongkah
maranya si taufan hitam

disatu sudut
seorang anak kecil
resah mencurah basah dari bulat matanya
melihat pohon pohon syahid
gugur satu persatu
ditelan badai yang kehausan darah
yang tinggal kini pesan ayahandanya
7 kalimah

awan masih menangis
selari sendu si anak kecil
ia menangisi bukan perit manusiawi
tetapi seksa tanah yang merasai
kepincangan manusia sendiri

Sunday, June 25, 2006

Dimana Ada Cinta?

berkatalah hati ini
dimanakah ada ia?
kemanusiaan
yang amat dirindui alam

dimata atau dijiwa?
pada bayang bulan dan mentari?
adakah ada pada bumi
yang merekah dan berkedut?
atau disimpan pada rumput nan hijau?

masih adakah lagi?
serpihan serpihan keadilan
walau hanya sedebu cuma
walau hanya sepintas masa

jika ada, dibicarakah ia?
diminda atau diangan?
pada bayang tubuh yang kaku
adakah ada pada merah senja semalam?
atau disembunyi elok oleh hati?

dimanakah ada cinta?
diawangan atau khayalan?
pada realiti berkhabaran duka
adakah pada ikhlas budi bicara?
atau ditengelam timbul oleh kita?

masih adakah lagi cinta?
untuk kita bernafas lega
yang datang berlagu riang
untuk kita yang berpeluk tubuh

Friday, June 23, 2006

apa yang kau

apa yang kau marah hai bulan?
sehingga pekat malam menjadi likat
sehingga putih serimu
hilang ditelan gerhana

apa yang kau dendamkan hai matahari?
hingga terpancar cahaya terikmu
di dalam kantor berhawa dingin
sehingga kering ladang dan sawah pusaka

apa yang kau tangiskan itu awan?
sehingga banjir kota metropolitan
sehingga melimpah ruah pekat lumpur
diselang seli lantam pekikanmu

apa yang kau marah hai bulan?
apa yang kau dendamkan hai matahari?
apa yang kau tangiskan itu awan?
manusia itu tetap jua jemawa

Igau

di tengah padang hijau
yang ada bertapak hanyalah sunyi

duduk lah disini berteleku
akulah mindamu
memberikan kau suara

matari mula berlabuh
malam menjengah hiba
dimana cengkerik dan unggas?

akulah cahaya itu
meninggalkanmu
untuk kau sembunyi lari
dari dunia sementara

ah, profesional
tidak perlu membaiki aku
aku tidak rosak

tiba tiba aku tersedar
aku masih belum tidur lagi
aku masih di tengah padang hijau
bersama cebisan kisah semalam
yang aku kejar selamanya

Thursday, June 22, 2006

satu konflik yang sudah tua

konflik itu sudah tua tok
sudah lama berlegar legar
sudah lapuk dek hujan
sudah lekang dek panas tok

ibarat besi berani
telah hilang kuasanya
kutub kutubnya tok
tidak lagi bisa menolak
antara satu sama lain

60 tahun umurnya tok
para pejuang kemerdekaan
sudah terbongkok bongkok
sudah terbatuk batuk
konflik itu tersekat sekat
di dalam kerongkong

konflik itu sudah tua tok
turunlah datuk
sini sekarang masa kami
generasi muda
yang sihat badan, akal dan jiwa

60 tahun umurnya tok
cukup cukuplah
ulang tayang itu sudah lapuk
merdeka itu sudah berhabuk
perlu ditepuk tepuk
agar hilang debu debunya

12 barisan

umatmu ya Muhammad
akan datang dengan pembawakan
di dalam baris 12 barisan

ada yang tidak berkaki
ada yang berbentuk keldai
sedang perut dipenuhi ular dan kala

ada yang berbau busuk
ada yang kepala terputus
balasan mereka menjadi saksi palsu

menangis dia Nabi kita
bila ditanya oleh Muaz
"Pada sangkakala ditiup
maka kamu sekalian datang berbaris-baris"
apakah maksudnya?

umatmu ya Muhammad
akan datang dengan pembawakan
di dalam baris 12 barisan

yang mana satu kita?

Wednesday, June 21, 2006

Cinta Sudah Hilang

hilang sudahkah cinta?
bila mana masa membawa bersama
serangkap mantera bernama duka
tatkala kita sibuk
mengali mencari dimana bahagia

hilang sudahkah cinta?
bila mana kertas unggu menjadi pujangga
digilai hati yang mentah dan merah
sedangkan aku sibuk
mencari masa depan yang penuh cahaya

peluh dingin membasahi dahi
tapak ini sudah amat dalam digali
lelah terasa dan aku berhenti
kupandang atas mencari tali
terlihat engkau, tangan melambai pergi

jangan diimpikan cinta abadi
jika janji selalu dimungkiri
jika setia engkau khianati
jika hanya bahagia mahu dinikmat
ijika susah bersama tidak sanggup diharungi

Jari Jemari

genggam kan kesemua
jari jemarimu itu
angkat keatas dan laungkanlah Allahu Akhbar
itulah rukun islam yang mesti dijunjung

luruskan jemari kehadapan
lihatlah satu persatu
itulah solat lima waktu
janganlah diabaikan

lihat kelinkingmu
itu tanda manusia itu kerdil
itu tanda kita mula dari yang kecil
itu fitrah insan, alam seluruhnya

lihat jari manismu
tanda usia remaja yang manis
seribu dugaan dan cabaran
kuatkan iman dan jangan menangis

yang ketiga paling tinggi
jari hantu tanda dewasa
tanda dugaan berlipat ganda
ibadat bertali arus itu pelindung jiwa

jari ini jari keempat
selalu mengungkap keEsaan Dia
jari itu penunjuk arah
jari itu tauladan pada semua

ibu jari jari terakhir
tanda kematangan dan kehebatan yang jitu
andai hilang ibu jari itu
hilang jualah rahsia kejayaanmu

Dengan Siapa Kamu Duduk?

diantara lapan jenis manusia itu
dengan siapakah kamu duduk?

adakah dengan sikaya?
dimana kamu nantinya
akan ditambah cinta pada dunia

adakah dengan simiskin
dimana nantinya
akan diberi kesukaan bersyukur

atau dengan para pemerintah
akan ditambah pada dirinya
sifat kasar dan sombong

atau dengan kaum hawa
akan ditambah dalam dirinya
sifat bodoh dan tinggi syahwat

atau pula dengan kanak kanak
akan diberi pada hatinya
kesukaan dalam bergurau senda

jangan pula bersama yang fasiq
akan bertambah beraninya
berbuat dosa dan menunda taubat

duduklah bersama yang soleh
insyaAllah kita
bertambah sifat taat

duduklah juga bersama ulama
insyaAllah kita
bertambah ilmu dan waraknya

Rindu Seorang Raja

hai indah alunan bayu
meresap sejuk seluruh tubuh
mencari cinta dimana tahu
pelengkap jiwa agar utuh
sempurna bahagia penerang lara

merenung bulan semalaman
mengharap bicara tiada sunyi
bilakah ada penawar keraguan
pada hidup tiada sendiri
agar nanti bicara disahut mesra

ulangkan madah kata punjangga
buat beta yang kerinduan
purnama bila akan bersua
permaisuri jiwa seterang bulan
asal melihat tersenyum jiwa

Sunday, June 18, 2006

Bara

masih,
menyalahgunakan kuasa,
rakus pada nikmat dunia yang tua,
masih lagi tamak haloba,
meragut ringgit berjuta,
dari airmata rakyat jelata.

nun dihujung sana,
satu kelompok manusia,
kurus kering berwajah bengis,
mata merah membara,
tanda amarah semarak menyala,
tanda jiwa panas membara.

nun di situ pula,
satu kelompok manusia,
jemari halus pantas berlari,
mengatur semangat dikertas putih,
penambah rencah dan perisa,
buat hati panas membara.

masih,
menanti kelibat satu hari,
tatkala kita semua gagah berdiri,
menumbangkan seekor gergasi tua,
yang meludah mentera fantasi,
yang menyubur cendawan kroni.

Anak anak kecil

Anak anak kecil
berlari lari riang
ditengah padang berumput peluru
sekali sekala berlagu riang
bersama alunan gendang bom yang jatuh
menghempas meranap rumah rumah mereka

Anak anak kecil
yang masih belum mengerti
bahawa mereka pejuang yang digeruni
hati mereka cuba menelah
apakah silap dan salah laku
tatkala tubuh kecil mereka dihujani peluru

Anak anak kecil itulah
palestin yang sebenarnya
membakar semangat para pejuang merdeka
berlumuran darah ditatap dunia
dan kita menangis bersama
cuma membisik hiba

bilakah rantai demokrasi ini akan terlerai?
bilakah gari kemanusiaan ini akan terurai?

Berjuanglah Palestin

berjuanglah palestin
engkau dipilih menjadi azimat
buat kami yang sedang lalai
masih lagi mabuk dan cinta duniawi.

keringkanlah airmatamu palestin
darah merah yang menitis
ianya umpama loceng yang bergetar
mengejutkan kami dari lena.

berjuanglah palestin
dengan nama agama yang mulia
dengan nama tuhan yang Esa
hujankan mereka dengan sejuta doa.

kami menunggu masa
untuk gugur bersama
dan sementara tiba
terimalah bingkisan doa
bekalan senjata kamu semua.

Friday, June 16, 2006

buat alif; seorang pelajar yang merantau

laksana bintang dilangit tujuh
begitulah jua cita yang dituju
berkat restu ayahanda bonda
kaki melangkah meninggalkan jauh
tempat bermain ketika subuh.

usah ditangis tika melanda
hujan, ribut dan terik mentari
asam garam hidup merantau
bayarlah dengan ketabahan
berkat sabar nanti berbunga kejayaan.

memilih jangan apa yang ada
adat dijunjung agama disanjung
perih luka andainya ada
balutlah dengan senyuman semanis rasa
itulah baja kebahagian di hari muka.

Wednesday, June 14, 2006

Andai Aku Pergi Dahulu

Aku bertanya kepada isteriku,
"Yang, yang,
bagaimana kalau abang pergi dulu?"

Isteriku diam tiada berkata,
adakah diam kerana sedih atau gembira?

Entah.

Aku bertanya lagi sambil memegang tangannya,
"Sayang,
bagaimana kalau abang pergi dulu?"

Terbit sengguk sengguk kecil dibahunya,
Adakah kerana sedih atau gembira?

Entah.

Aku bertanya lagi sambil memeluk bahunya,
"Sayang,
bagaimana kalau abang pergi dulu?"

Kini tangisnya makin ketara,
Adakah tangis sedih atau gembira?

Entah.

Lalu aku bertanya lagi
"Sayang,
jawablah kenapa diam?"

Lalu dia memandangku,
dengan linangan airmata,
sambil memegang erat tanganku,
dia berkata;

"Kalau abang pergi dari sisi,
sayang akan turut ikuti!"

Oh! Bahagia sungguh hatiku ini,
kerana mengetahui,
yang isteriku sanggup menjadi,
seorang pengebom berani mati.