Tuesday, August 28, 2007
Teringat
aku jadi buntu
buntu dan sebu
sebu dan,
tiba tiba
aku jadi buta
buta dan resah
resah dan,
tiba tiba
aku jadi kaku
kkau dan sjeuk
sejuk dan,
tiba tiba
aku teringat, hati
teringat, iman
teringat, mati
teringat segala saki baki
dan,
tiba tiba
sakit seluruh sekujur tubuh
sekilas pandang besar rantai besi
menghentam aku hingga ke dasar
7 lapis perut bumi
dan,
Sunday, August 26, 2007
Kebebasan Rama Rama
nanti akan aku belikan
topeng gas
bukan untuk kegunaan kamu
pada hari ini
tapi untuk cucu cucuku
anak anakku
aku titipkan rezeki kian sedikit
moga menjadi bukit
bukan kekayaan kamu
tapi untuk cucu cucuku
anak anakku
biar aku ajarkan tentang pena
keras dakwatnya, berkuasa
bukan untuk membenarkan
kemerdekaan pada jenayah dan onar
tetapi untuk kebebasan
rama rama,
yang dikejar cucu cucuku
Friday, August 24, 2007
Harapan Di Bucu Bintang
di atas bantal
pimpin cuaca mendung
ke arah timur
ketika terbangun sendirian
sekotak kesunyian
berkabus di bilik ini
dan sekelilingnya
dan mimpi tersasar
ke langit
menyangkut harapan
disetiap bucu bintang
dalam bersungguh senyum
yang terpahat dihati
pelangi sudah berakhir
Wednesday, August 22, 2007
Mari, Kita Rayakan
perayaan ini
nyalakan lilin
mari, kita rayakan
hilangnya peranan bahasa
negara kita, merdeka
mari kita raikan
kekayaanya
dengan membuang
biasiswa yang lusuh itu
mari, kita sambut
perayaan ini
indahkan langit dengan api
mari kita nyanyi
lagu hilang segala hak
mari, kita rayakan
dengan megah kemakmuran kita
mari, kita raikan
dengan hebah merdeka kita
mari, kita nyanyikan
dengan bangga bangsa kita
yang merdeka,
mari, hapuskan pusaka kita
Sunday, August 19, 2007
Tahanan Merdeka
kerana bendera di hatiku
tidak ku kibarkan
di atas kereta dan rumah
mereka menahan aku
kerana patriotikku itu
sujud syukur
sedang mereka riuh bersorak
katanya,
aku tidak merdeka
tidak membangga bangsa
tidak menyanggah agama
tidak mengendong dunia
mereka menahan aku
kerana malu
ludahan terkena muka sendiri
sewaktu aku membisik
kisah merdeka di cuping anak
yang baru mahu lena
Thursday, August 16, 2007
Menambat Masa II
lelaki tua itu
dalam senyum mesra
dia berkata
"aku mahu menambat masa, lagi
kali ini untuk isyak
panjang waktunya itu
adalah tanda kesuntukan"
"bagaimana halmu?"
tanya dia
"sudahkah melangkah ke maghrib
atau masih menguliti asar
yang telah pergi?"
Monday, August 13, 2007
Dunia Lain
bersendirian
di tengah bingit bandaraya
Kuala Lumpur yang menjerit
aku mahu lena
demi merasa dia di sisi
di dunia yang lain
aku bisa melangkah
berpura tiada apa
yang perlu untuk aku darimu
di dunia yang lain
bukan yang ini
tiada kubu
untuk aku pertahankan
tiada kata janji
untuk diperbaharui
dan semalam
adalah satu tempat yang aku tuju
berulang kali
Sunday, August 12, 2007
Hanya Lelaki
mengharapkan aku
melakonkan babak romeo
mengutus kata bagai bonaparte
meluruh jiwa bagai yusuf
mendatangi alam mimpi remajanya
laksana uda
di dalam novel cinta
tapi aku bukan!
aku hanya lelaki
yang ada
sekuntum mawar merah
di celahan hati
Friday, August 10, 2007
Menambat Masa
ujar lelaki tua itu
"kerana maghrib itu
terlalu singkat waktunya
untuk aku bermunajat"
"bagaimana asarmu?'
tiba tiba dia bertanya
"apakah sudah kau kerjakan
selengkapnya?"
aku, terpaku.
Thursday, August 09, 2007
Larikan Aku
dari cahaya suram itu
dari satu benda
yang bila aku berdiri mengadapnya
aku lihat aku
larikan aku dari aku
dari udara cemas
dari katil itu
yang bila ku baring di atasnya
adalah peluhku
larikan aku dari aku
dari jampi serapah
dari profesional
yang bila aku berdialog dengannya
aku berdiri sesat!
Monday, August 06, 2007
Kebenaran Bercinta
berapa lama tempoh tamatnya?
jika perlu cinta diadakan pas
berapa had umur
memohonnya?
apakah syarat syaratnya?
berapa jenis kan ada?
untuk pasangan sesama jenis
atau berlainan jantina?
cinta untuk tuhan
bagaimana pula?
ah, jika cinta ada
satu lesen yang membenarkan
berapa panjang pula
barisan penzina yang beratur?
hakikatnya
apabila fitrah
digauli tangan manusia
hanya mengundang padah!
Thursday, August 02, 2007
Ubat Untuk Dunia
perempuan, beraksesori emas
bongkok tiga, lelah
demam belum berkurangan
berjumpa doktor
"Ah! nenek terkena jangkitan,
virus manusia
sangat bahaya, hujungnya maut"
seorang perempuan tua
berjalan perlahan
sambil membimbit plastik
berisi ubat, terngiang dicupingnya
pesan jururawat, manis
"makan ubat ini, namanya taufan
3 kali setahun
ubat ini, gempa bumi
makan bila sakit sahaja
minum ini hujan mansoon
1 kali setahun
ini pula antibiotik
pemanasan global
mesti habis makan"
seorang tua
perempuan, beraksesori emas
bongkok tiga, lelah
demam belum berkurangan
mula memakan ubat
seperti saranan
Wednesday, August 01, 2007
Resah Akal DI Kota Hati
gelisah resah
melihat mendung di luar kota
berderap hentak kawat
sepasukan askar diraja
bersedia menerima kemaraannya
awas! ia datang!
awas! ia kan serang!
seorang panglima
lemah berpencak
menentang musuh
yang tidak tenteram
sebuah kota di hati,
seorang maharaja, resah
melihat panglimakan tewas
lalu keduanya bertembung mata
"jika kau menjaga ku dengan baik
tidakkan ku tewas hari ini"
seakan begitu renungannya
menambah gundah maharaja
Tuesday, July 31, 2007
Goyang Lidah
Sudah, mula
lidah bergoyang
mencanai kata
campurkan liur
moga mudah cerna
lidah bergoyang
menjilat, menyoroti tubuh akal
bagai jalan yang ditayari
jentera berat
meninggalkan lopak
janji kami beri!
janji kami beri!
nanti, hutang dulu
malam sunyi
tidur lena bagai bayi
mulut ternganga
lidah tetap bergoyang
demi esok hari
Thursday, July 26, 2007
Mari Menconteng!
janji itu?
jaga air dan apinya
jangan lembik, jangan hangit
nanti tak hendak
sediakan upah (dan colok)
untuk remaja dan tua, (hantu juga)
yang sedia menconteng
muka keluarga dan dinding masjid
acara ini
5 tahun sekali
biar gemilang
kepalkan janji
panas berbungkus
tinggikan nilai upah
ayuh bangsa!
lumpurkan lagi negara
mari menconteng!
Wednesday, July 25, 2007
Balang Doa
balang balang doa
moga Tuhan yang maha mengasihani
kan melimpahi ia
dengan rahmat
seharian hujan
memutik riang
namun kecewa pula berbuah
balang balang doa
tetap kosong
ya Tuhan!
bocor rupanya semua
balang yang ku beli murah
dari kedai kaca
Monday, July 23, 2007
Bulan Dan Novel
kerana yang lama
telah terbakar
sudah?
bukakan suisnya
agar kembali terang
suasana,
untukku sudahkan
novel hatimu ini
Saturday, July 21, 2007
Buatan Cinta
yang pesat membangun
memenuhi ruang ruang poket
dan dompet
katanya,
buatan cinta
nusantara jelata
khusus kau dan aku
satu penipuan
tinggi mencakar langit
bagai helium dipam paksa
di dalam belon
katanya,
buatan merdeka
kesejahteraan perut
bukan kau dan aku
Friday, July 20, 2007
Sayup sayup Janji
Aku adalah Tuhanmu yang satu
kami berjanji!
berjanjilah!
akan beramal ibadat hanya untukKu
kami berjanji!
berjanjilah!
tidakkan kamu menyekutukan Aku
kami berjanji!
berangkatlah
segerombolan roh
ke dalam rahim ibu masing masing
membawa amanat
dan dialog janji itu
sayup sayup kedengaran
lalu hilang
tidak tersisa dalam ingatan
Wednesday, July 18, 2007
Apa Rasanya
lilitan duri mawar
di sekujur tubuh lan
atau berat
batu yang harus dipilih
untuk digalas sada
apa rasanya?
menjamah gelap
pak mat yang menyanyi
di kaki lima pasar tani
dan diejek dengan mata
kasut manira ini
apakah sama selesanya
dengan mereka
dalam mengharung duka
dalam ketar iman memilih
dalam payah berlagu blues
Janggal
kau lihat
mentertawakan hujan
jangal aku
lihat kau
memakinya
janggal aku
kau lihat
tidak berbaju
janggal aku
lihat kau
berbaju serupa aku
janggal aku
kau lihat
memakan sampah
janggal aku
lihat kau
menjilat dosa
janggal,
kau lihat aku
lihat kau
pun sama, gila!
Monday, July 16, 2007
Damai Seruang
mengarah ke lilitan
gelung wayar
ganggang telefon
menanti sebab untuk reda
gelisah mengharap
damai seruang
gelas di tangan,cuma
agar terlerai
lilitan duri dawai kokot
disekeliling hatimu
Jangan Saman Kami Tu(h)an!
halaju terlarang
melanggar segala peraturan
lalu lintas
isyarat lampu traffik
mula menguning
- merah
tiada niat berhenti
penuh bongkak
pemanduan tiadak berhemah
menzalimi yang lain
ekori dari belakang
siren menyentak riak
baru tersedar
baru gelabah, gerun pada seragam
2 anggota
mula merayu
jangan saman kami Tu(h)an!
Saturday, July 07, 2007
Sada
ingin menjadi burung
agar ukiran katanya
cermat diselitkan
dicelah awan gewaman
nan putih
sada,
ingin seperti bunga
menyambut salam bayu
dan seperti ombak
menggulung rindu
pada pantai
satu lagi tari, sada
untuk hatimu
dari violin
satu lagi hari
untuk hajatmu
dari sini, sada
adalah doa
Kau
kata janji yang kau tempah?
hingga aku terpaksa ulang pakai
baju lusuh ini
wahai!
mana makananku?
mana air mandian ku?
mana dampingan ku?
berapakah lama
kata janji yang kau tempah?
hingga aku terpaksa luka
selama nyawamu
Friday, July 06, 2007
Doa Yang Tersangkut
rupanya tersangkut
di langit pertama
baru ini ku sedar
setelah mendungnya
menutupi hidupku
aku penuh debar
cuba mencapai semua
sayang tuhan
galah imanku
terlalu pendek
ampunkan aku
Thursday, July 05, 2007
Pesan Jebat
pernah ku tanyakan kepada jebat
(wataknya)
mengapa derhaka?
dalam baris baris ayat buku sejarah
(dan skrip drama yang telah ditutur kemas)
dia berkata
kerana keadilan itu
sudah satu penderhakaan
mana mungkin? bidasku
keadilan itu penentangan
kezaliman
dan kerana itulah, katanya
keadilan,
sudah menderhaki kezaliman
kemudian jebat, mati
kematianya adalah pesan
keamanan, kebebasan
kemerdekaan dan keadilan
adalah penderhakaan kepada kezaliman
dan itulah yang sebaiknya
bukan sebaliknya
Wednesday, July 04, 2007
Bila Siput Beraja
menyusur perlahan
amat,
mengendong amanah
dan kebajikan
untuk rusa, serigala
dan hering
yang gelisah menunggu
malam kian larut
bulan pun mengantuk
pungguk berlagu
kegelisahan rusa
kelaparan serigala
kesabaran hering
siput baru,
selangkah tapak manusia
mengendong amanah
dan kebajikan
untuk rusa yang terkorban
mengisi ruang kelaparan
mengendur tali kesabaran
serigala dan hering
Tuesday, July 03, 2007
Wednesday, June 27, 2007
Membeli Harta
ingin memiliki harta
bertali arus
sepanjang keturunannya
dijual iman
kepada kekufuran
dia lupa
meyimpan harta
untuk membina rumah di sana
supaya tidak mengemis
di dalam neraka
Tuesday, June 26, 2007
Sepasang Kasut Tari
sepasang kasut tari
tersusun malas
lelas tapaknya
begitu
sepasang kasut tari
rindunya pada irama
tari selendang tari
asyik si puteri
sepasang kasut tari
sesungguh hati
menanti
bilakan disarung lagi?
Sunday, June 24, 2007
Sejak Sekian
susunan byte yang membentuk kata
yang ditembak dalam medium
gelombang mikro
menghantar perutusan kata janji
tidak dibalas
memang,
hidup di alaf serba pantas ini
penantian itu bertoleransi
1 atau 2 minit kerana kerosakan teknikal
memang,
kerana kerosakan di hatimu itu
yang tidak bermanual
aku tersangkut dalam kepantasan
sejak sekian
Saturday, June 23, 2007
Berhenti Merdeka
berhenti melangkah
membersihkan diri dan sepatu
dari debu tahi dan lumpur
mungkin kita harus
menundukkan kepala
melihat smeut dan rumput
menepuk dada bumi
yang selama berjasa
terlalu ramai di dalam jiwa
rungut dan sungut
mungkin kita harus
menanggalkan topeng itu
sarung sarung tangan itu
kita keliru
kita telah jauh
mungkin juga kita
harus, berhenti merdeka
Tuesday, June 19, 2007
Saturday, June 16, 2007
Maruah Di Botakkan
ketika dibotakkan
gugur helaian rambutnya
jatuh berdentum
menyelak riak di air muka
mengundang bingit
lafaz tengkingan
ia dibela,
satu kebodohan
mengundang persoalan
mana pergi, kita?
ia disokong
gemuruh tepukan tangan
mengunang persoalan
mana datang, banjir?
Sana Mahal Sini Murah
harga tolol itu mahal di sana
di sini, lebih murah
khabarnya (katanya!!)
pusingan propeler itu
lebih hebat di sana
di sini, masih perlahan
tolol itu adalah keperluan
kita patut bersyukur
kerana di sana lebih mahal
di sini lebih murah
satu daya tarikan pelancong?
khabarnya...
Amanah Yang Tersilap
dalam meminta dan menerima
dua sinar amanahMu?
adakah aku tersilap
dalam menduga
apa yang terbaik untuk ku?
tuhan,
tunjukkan arah
apa perlu ku meneruskan kesilapan ini
atau perlu ku hentikan ia
walau tahu ianya kebencianMu
Sunday, June 10, 2007
Tuhan! Itu Kami Punya!
kepunyaanMulah kemarau itu
dan kepunyaan kamilah
benih benih hujan itu
kami tiada gentar
tuhan
kepunyaanMulah hujan itu
dan kepunyaan kamilah
terowong itu
kami tiada kisah
tuhan!
itu kami punya!
itu kami punya!
itu, kami terlupa!
tuhan
kepunyaanMulah segala gempa
dan kepunyaan kamilah
segala teknologi
kami bisa meramalkan
tuhan
kepunyaanMulah segala nikmat
dan kemenangan
dan kepunyaan kamilah
segala kebodohan dan kesombongan
Friday, June 08, 2007
Rindu Di Bilik 422
hotel, 422
sedang memerhati gerimis
di kala matahari memandang alam
dengan separuh mata
aku mengira hari
di tanah orang
rindu dan cinta yang ku tinggalkan
lenakah tidurmu?
aku di bilik dingin hotel,
bersama gerimis
dan matahari yang semakin lena
lalu, angan menyuruh ku senyum
- Kingbinjai, Alor Setar
Sunday, June 03, 2007
Deklamasi Rindu
bagai berbicara dengan dinding
mendeklamasikan rindu
sepasang mata spanish
melirik sebuah lukisan
yang tergantung di angkasa
aku ingin melihat hujan bisiknya
sampaikan deklamasiku
pada dia yang sedang menonton
gelora di hatiku
Thursday, May 31, 2007
Dinding
bisu seperti hari hari berlalu
aku benci dinding itu
ketebalannya, ketinggiannya
sedikit
lumut lumut hijau bertebaran
cuba menjajah hitamnya
aku cuba meriahkan dadanya
dengan awan,
gunung, burung, angin
harimau dan roket
namun tetap kelam walau dipelangikan
kerana ia di situ
aku terbatas
kerana ia di situ
lumut lumut hijau tewaS
akan runtuhkah dinding itu?
jika aku hanya berkomplot dengan amarah
sedang logik akalku
di belakang tersenyum
memerhati
Tuesday, May 29, 2007
Monday, May 28, 2007
Thursday, May 24, 2007
Ijazah Akhirat
dewan peperiksaan
dan ajal itu
minggu peperiksaan
sedang mungkar dan nangkir
adalah kertas soalan
ketahuilah
alam barzakh itu
adalah cuti semester
sementara menunggu akhirat
keputusan samaada berjaya
menerima segulung ijazah
atau sekadar satu transkrip kosong
Tuesday, May 22, 2007
Hatimu Tahu
pasti,
ada lembaran hari dilepaskan
bersama dugaan
yang kemudiannya
menjadi perca kenangan
dan naluri mendesah
mahu mengimbau dalam senyuman
menderai tawa
hingga rindu bersimpuh
di relung hati
satu kehidupan yang indah
terkadang tiada yang enak
untuk di jamah hati
terkadang dihampari kejutan
disebalik pelangi
Dalam Ingatan
hampir sahaja menitiskan airmata
saat berita yang kau sisipkan;
"kembaraku sudah sampai penghujungnya"
aku bukan
bumi tempat hamparan
hentakan kaki dukamu
aku bukan angin
yang cuba berbisik kata kata hikmat
bukan juga matari
yang mahu menghambat mendung hatimu
namun aku ada sebuah bingkai
di dalam ingatan
di situ abadi nanti
segala memori antara kita
sehingga kembara ku pula lelah
di penghujungnya
sahabat,
semoga segala duka dan derita
bisa mengindahkan rumahmu
di akhirat sana
Monday, May 21, 2007
Kasut Baru Seorang Menteri
di hadapan cermin hari
seorang menteri
tersenyum sendiri
menggilap kasut baru dibeli
disarung perlahan berhati hati
hingga penuh tapak kaki
berbunga jiwanya seorang menteri
terngiang kata pakar motivasi
kasut baru,
penambah keyakinan diri
soerang menteri
hari ini di dinihari
salam dilontar hormat diberi
disambut dengan cuka
masam dimuka
ah sayang,
kasut baru penambah keyakinan diri
belum lagi tengahari
sudah terpijak tahi
Saturday, May 19, 2007
Hilang
yang dijajah bintang
aku kehilangan
sinarannya
malam malam begini
aku mengharapkan
hujan kan turun
dari berajakan bulan
yang tiada dapat menyuluh
satu kehilangan
Wednesday, May 16, 2007
Nasi Dan Ubi
menerangkan sepadang hutan
menjadi pusaka, harta
nasi dan ubi, selalu berlebihan
datang kemerdekaan
di hari muka
bersama tongkat keangkuhan
sepadang hutan pun digembur
disemai besi dan bata
melalanglah kemodenan
diantara pusaka
lalu nasi dan ubi
dicatu lima
Sunday, May 13, 2007
Atas Nama Perjuangan
yang terlena di dalam akalmu
kerana anai anai
telah bermukim di bawah tilam
di atas nama perjuangan
memfitnah insani
menipu kebenaran
membiar tin tin kosong
bersepah di bucu mulut
di atas nama perjuangan
kembalikan patriotik
kepada kami
kerana tuan,
selamanya berpayung
hanya menambahkan kekotoran
Friday, May 11, 2007
Tuesday, May 08, 2007
Surat Kepada Bintang
kirim, sepintas kelodan
buat pengganti sumbu pelita
yang telah kering
agar kembali malap di belakang terang
kirimkan, sekeping tembaga
dan tempa diatasnya madah
sebaris kata hikmat
selaut rasa kebiruan
bacakan bintang kepadanya
bisikan ku,
gelisah itu sekadar kanak kanak
yang mahu dimanja dan dibelai
hadiahkannya,
sebuah tahajjud dan kalammullah
kelak berhenti rengekkannya
Monday, May 07, 2007
Zib
membuak cinta di dalam hati
yang tidak kedap udara
dan pungguk terpaksa berkongsi rindu
kerana purnama siddi
menundang zib
wayu menderu memberi arah
di dalam gelap belantara
mana rebahnya amanah
mana getar jantungnya
dan zib menyusup bagai perwira
mengendap mangsa
dengan bengis, tajam kuku dan gigi
serakus nafsu laparnya
menerkam dan membaham mangsa
hingga tidak tersisa
malam, pungguk menjadi kaku
menyaksi pesona psikotik arjunanya
lolongan kejayaan zib mengejar debarnya
suluhan purnama siddi girang membelai
dalam upacara menyembah korban
Saturday, May 05, 2007
Ceritalah Lagi
tentang hijrah yang kau temani
tentang sejuk yang menggigit
tentang ribut pasir yang menyapa
ceritalah kembali bumi
saat dirimu menjadi hamparan
tubuh para syuhadah yang rebah
dan dengan rela membiarkan
darah mereka membasahi mukamu
ceritalah semula matari
bagaimana terikmu telah dikerah
memamah kulit para pencinta
menyelar sekujur tubuh
yang tenang menyebut
ahad, ahad, ahad
ceritakan kepada kami
yang berkemarau dan berhujan
dengan alasan, kemurkaanNya
Tuesday, May 01, 2007
Aku, Lalat
atau bangkai bergelimpang
baunya umpama kad jemputan kahwin
sang sahabat, menjemput aku
menjelma menjadi lalat
berapakah harga maruahmu itu?
samaada yang ternganga atau terkatup
menggoda mata kumpuanku
agar menjilat, menyeluruhi
menyoroti dan berimaginasi
sewayang nafsu berahi
sayang srikandi,
kita bayar maruahnya
dengan sepinggan pizza
setiket wayang
sekalung kencana
dan seliter keseronokan
Tuesday, April 24, 2007
Serviskah Merdeka?
sebuku roti yang tidak dijamah
hingga berkulat
menjadi bahaman anjing
adalah kamu
merdu halwa di dalam kereta
di bilik dan di pejabat
adalah mereka
wirawan dan wirawatiku
cintawan dan cintawatiku
adalah nafsu
kanvas kanvas bercorak yang dicetak
menghiasi kesesakan
disepanjang lebuhraya persekutuan
adalah aku, adalah kamu
adalah kita, adalah mereka
yang memandu merdeka
tanpa menggantikan minyak hitamnya
Monday, April 23, 2007
Doktor, Perskripsikan Aku
siapkan aku perskripsi
kerana perasaan itu telah hilang
dan aku perlukan ia kembali
sebelum diketahui
aku gelisah merayau
cuba mengembalikan
kesegaran epal di mataku
doktor,
siapkan aku perskripsi
sebelum aku menerima
satu kad ucapan
terima kasih yang sinikal!
Saturday, April 21, 2007
Timbangan Bangsa
yang telah diharamkan
identitinya?
berapa pula harga tebusan
maruah yang diculik
undang undang?
cukupkah sebungkus kemerdekaan
sebagai nafkah bekalan bangsa
sehingga ke hujung nafas?
atau secawan kopi pembangunan
yang dibancuh
tanpa susu dan gula
berapakah nilai kami
disebalik jalan bertar
pelangi di kaca tivi
tinggi cita dan wawasan?
Sunday, April 15, 2007
Kelewatan Dijangka
lancar
tiba tiba di kilometer 23
traffik menjadi perlahan
dan semakin tidak bergerak
dari kejauhan
aku melihat pemberitahuan
di papan tanda digital
garapnya,
"kelewatan dijangka
cinta kemalangan di hadapan"
Thursday, April 12, 2007
Bilkan Situasi Itu
dibayar dengan maruah
resit disambut dengan mulut
dan ketar di tangan
Senario itu dibeli secara hutang
nanti akan dibayar bila sampai bilnya
bayaran minimum adalah : rakyat
bayaran penuh adalah : masa hadapan
Situasi itu adalah duit di dalam mesin
janji janji kata laluan membenarkan cara
dan resit itu adalah anak anak bangsaku
yang bukan disimpan untuk rujukan
Saturday, April 07, 2007
Pesan Untuk Anak
di setiap inci
yang berkaitan denganmu
tuhan itu satu
yang maha esa, Dia.
imanmu adalah nyawamu
adalah maruahmu,agama dan bangsa
sekeping tiket tempahan
kekayaan di akhirat atau
kemiskinan di dunia
cinta,
jangan sesekali
membiarkan nafsu memegang berus
pelanginya nanti
hanya ada satu warna
hidup,
jangan seperti kasut
walau semahal mana kualitinya
tetap menjadi pijakan orang
tetap juga memijak najis
Tuesday, April 03, 2007
Legar
jika kau kembali lagi
jangan biar ia terbakar
jangan biar ia menghilang
dan aku tidak sinis
cuma sikap mu itu
mengoyakkan kanvas asmara
melumutkan istana
apa sahaja alasan yang aku ada
untuk pergi
tempatku sentiasa di sisimu
perasaan untukmu yang tersedia
seperti dunia dikelilingi jari
perlukah kau terus berlegar?
Monday, April 02, 2007
Opera Hati
biar hujan merintik
kau pengarah
opera hati yang terluka
bila cinta jatuh di pentas
bila rindu lupa pada skripnya
bila harapan selaku hero
tawar lakonannya
kau pengarah
opera hati
sedang terluka
bila kecewa adalah penonton
mentertawakanmu
dan kau berlalu
saat cinta menunduk hormat
di akhir cerita
bahagia bertepuk tangan
kegembiraan
"jika esok ditayangkan lagi
aku pasti datang!"
Wednesday, March 28, 2007
Mungkinkah? (Selalu Di Hati)
cinta telah terlupa
seperti janji yang tertera
atau pada angan yang pernah tersiar?
mungkinkah
rinduku tidak menyelimutimu
setiap malam yang sunyi
atau ia terlupa menghadiahkanmu
sekelopak seri di setiap pagi?
jika kau merasa
kedua terbaik
ku pohon maaf
buat cinta yang buta
kaulah huruf huruf yang kubaca
kaulah pemandangan indah
sentiasa tersemat di hati
Tuesday, March 27, 2007
Sajak Anak Anak Yang Terbuang
takdir ini terpilih
kesan tersesat
tersesat kerana
melintasi batasan
yang dilarang
aku ketakutan
kecil, belum bersedia
untuk menunggumu
jika kau pergi
tinggalkan ku sendiri
jangan lupa kembali
aku merayu padamu
kembali dan nyanyikan lagu
padaku
nyanyikan lagu dan kembali
aku merayu
padamu, ibu
Monday, March 26, 2007
Aku Yang Pupus
dispkeulaiskan aakn ppuus
mgnuikn bnear
aku bkuan lgai
jwia bnagsa
aku hnaya idneitti
ynag bremusfair
jkia aku
dibcaa beigni
adaakh kau mnegkagmuiyna
aatu skedaar mneceibk
mengaatakn aku taelh tbeiat?
Saturday, March 24, 2007
Aku Yang Pupus
dispkeulaiskan aakn ppuus
mgnuikn bnear
aku bkuan lgai
jwia bnagsa
aku hnaya idneitti
ynag bremusfair
jkia aku
dibcaa beigni
adaakh kau mnegkagmuiyna
aatu skedaar mneceibk
mengaatakn aku taelh tbeiat?
Thursday, March 22, 2007
Reformasi Yang Tertunda
telah ditunda
pada satu waktu
yang belum ditetapkan
semalaman
kami menunggu notis
sambil melemparkan roti
untuk merpati
sedang nasi di rumah, sedang mengerak
hari ini
(mungkin) dia sedang berjudi
dengan nasib, kempis perut
dan kudis marhaen
kekayaan, keselesaan
dan kepentingan
telah lama tertangguh
intai intai,
rupanya reformasi sedang ditunda
kerana kesalahan
memakir di bahu jalan
Tuesday, March 20, 2007
Empayar Cinta
cinta ini adalah empayar
rupanya sekadar tanah jajahan
rindu itu adalah cukai
yang harus dibayar
tanda diplomasi kesetiaan
dan perpisahan itu
adalah kemerdekaan
yang bersifat kecewa
Monday, March 19, 2007
Mana?
setempayan airmata
laksana mutiara yang gugur
tatkala leka ditangisi
agenda penyingkiran
dan jiwa yang melayang
di kelab kelab malam
manakala aku terpaksa menjerit
hingga merah anak tekak
mengisi kesunyian pandangan
yang menatapi kesengsaraan
Iraq, Palestin dan Lubnan
Saturday, March 17, 2007
Merangkak Di Dalam Gelap
mentadbir bicara
masa dan amanah
bergelimpangan pahala
merempat tanpa rumah
kerana setinggan sudah sejarah
luka bin luka
merangkak di dalam gelap
mencari, kononnya ada
suis lampu di atas lantai
Thursday, March 15, 2007
Lenguh
separuh zaman
beratur hingga lenguh harapan
hanya untuk mengetahui
tender hatimu sudah dibeli
sungguh aku tidak tahu!
cinta di hatimu itu
lebar hamparannya
hanya untuk kroni
Saturday, March 10, 2007
Bagasi Dalam Cinta

sepasang tangan menyambut
beriringan langkah
sepimpin
"duduklah, jadi tamu"
katanya
"atau sudi
bermaustatinlah
di gurun ini"
selebar jalur sinaran mentari
senyumku dan ku rehatkan
kunci kereta di atas meja
bersama renungannya
aku membuka bagasi dalam cinta
yang belum pernah luak
untuk dia susun isinya
di dalam almari
Friday, March 09, 2007
Rena Kasih Puteri

rasa cinta berterbangan
aku kilas antaranya
menjadi sayap indah
buat puteri sukma
ada ilu dibalik jendela
kita pangku ia bersama
hingga bahagia menjadi jali
sedarun lafaz suci
terhias di bawah langit yang kebiruan
memancar sinar cahaya menyuluh jalan
sedalam makna janji
sedalam rasa hati
kasih untuk puteri
kaulah cinta itu
kau rindu di hatiku
sengga duka yang beribu
bicara ingin berirama
semerdu alunan hujan yang turun
menjadi bisikan manja
merena kasih kita
Sunday, March 04, 2007
Pintu
hati ini ditusuk kelodan
sayu kata bahasa terindah
selingan tangis keampunan
selama waktu yang terlupa
mencari mana yang digenggami
hingga larut sesat di dunia
melutut ku di pintu Illahi
tuhanku
aku berserah
kepadaMu
bukalah hijab di depan mata
untuk ku kisah semua sejarah
biar jadi perdu
biarkan hati pilu
hingga aku menjadi rindu
izinkanlah cahaya itu
selama berlegar di depan pintu
menjadi tamu di kala senja
untukku sujud
untukku menatapi dosa
tuhanku
aku berserah
kepadaMu
Sudah Bintang
sudah bintang,
sudah bulan,
purnama
kerana anugerah
kurniaan rahmat, juga
hukum alam terlaksana
dia, kini gerhana
p/s:
kerana dulu sudah bintang
dia terlupa pesan matahari
hidup, jangan jadi seperti kasut
Wednesday, February 28, 2007
Tekan Butang Jahilliyah
jahilliyah!
salak anjing di atas bukit
katanya
jahilliyah menjadi selimut
benang dipakai
sutera bercompang camping
melindung tubuh
budi bahasa cara hidup
gaya terkini
tekan butang
ulang sejarah
tuhan tekan juga
butang bencana yang sama
hakikat!
Tuesday, February 27, 2007
Bukan Pencemaran Biasa
bukan sekadar udara
bunyi dan bau
rasa(?)
Pencemaran bangsa dan sejarah?
bahasa dan budaya?
politik dan agama?
pencemaran itu di telingaku
melahirkan kotoran
hitam
pencemaran di ruang putih
kata kata ukuran
(kononnya) keamanan
mahu apa?
susunan baris katamu itu
adalah pencemaran
pada akal dan jiwa
seperti yang dikandung
oleh suratkhabar yang berlipat
Selamat Malam Guru
tidurkan pena lelahmu
selimutkan amanah
agar tidak kesejukan
seperti siang tadi
sabarmu yang dipancing
selamat malam guru,
curahan ilmumu bagaikan hujan
buat kami benih yang dahaga
pada nikmat nilai dunia
berkat jari yang menunjuk
terbuka hijab rahsia kejayaan
selamat malam guru,
segulung ijazah kami tanda kemenangan
seluas alam ini tanda terima kasih
kejayaan yang ditempa
ibarat sungai mengalir ke laut itu
adalah upahmu sepanjang hayat
Friday, February 23, 2007
Tepuk Dahi(,) AKu
tersentak aku
kau rupanya, sejenis guru
bukan sekadar topeng
dan aku datang
ke kuliah cintamu
dalam senak, aku
cuba mengintai lirik fikiranmu
dalam kagum, kau
rupanya menyorok sampah
di bawah permaidani!
tepuk dahi, aku!
Saturday, February 17, 2007
Rimas!
berhenti di sini dahulu
memerhati
motor motor berdaging
akan berhenti
sehingga arahan seterusnya
sehingga sampah di depan kaki
telah disapu bersih
itu pun,
jika aku tidak penat!
Wednesday, February 14, 2007
KhabarMu Itu
untuk manusia
diiyakan oleh ikan, kerang dan gamat
bagai aksara yang bergelimpangan
menyusun kata di pesisir pantai
perkhabaran itu
bertaburan menjadi kutipan
tangan tangan yang kering dan ketar
mengheret seguni harapan
perkhabaran itu
adalah nyawa nyawa yang melayang
memberitahu perintah
sujudlah kepada Dia
Monday, February 12, 2007
Seorang Tua Yang Menjelir Lidah
tongkat di kirinya
sebutir mutiara di kanannya
berjalan bagai pandir
jangan disapa
akan dibalas,"Ptbhhhh!"
seorang tua
rehat di kaki lima
seringgit pemberian masyarakat
digulung bersama tembakau
dibakar dan disedut
sambil dijeling oleh mata mata waras
lalu dia menjelir, "ptbhhhh!"
seorang tua
ditepi longkang
menguis longgokan rezeki
setin minuman belum berbuka
tika di ambil
bergolek mutiara dari genggamannya
dilihatnya bersahaja
sambil mencebik, "ptbhhhh!" dan berlalu pergi
Wednesday, February 07, 2007
Cinta Dalam Bagasi
cinta ada dalam bagasi
bersama pakaian, alat solek
dan tiket penerbangan
katamu
cinta sudah di jilid terakhir
tugas penanda sudah lunas
tiada lagi halaman untuk dibaca
ambillah tivi itu
juga katil dan sofa
tinggalkan untuk ku
radio buruk itu
keratlah kata janji
gambar dan kenangan
kita bahagi dua
juga dendam dan kesalahan
katamu
cinta ada dalam bagasi
bersama baju baju ku
seuncang kunci kereta
Keretapi Rakyat
bergerak laju di horizon
bertentangan hala tuju
rupanya dibiayai begitu
keretapi rakyat
gegaknya merempuh ketetapan
jelajah malam dijajah bintang
destinasi : halimun
laju ia tanpa kesedaran
melepasi tanda had laju
dan amaran bahaya
cerun di hadapan
keretapi rakyat
belum ada tanda berhenti
mata mata dura bersuara
ah! pemandunya sedang sawa!
Saturday, February 03, 2007
Hutang Kemerdekaan
sehelai surat penyata
dengan angka dan simbol ringgit
kemerdekaan adalah hutang
dan rakyat adalah penjaminnya
kemerdekaan adalah sepucuk
surat peringatan keempat
berwarna merah cair
"sila bayarkan hutang kami"
Friday, February 02, 2007
Semua Itu Duit
dididik dengan duit
salah itu duit
betul itu duit
kita marhean
setiap pagi
membeli penipuan
membayar cukai
harga kekusutan
sebuah pahala tiada nilai
sebuah dosa bermakna duit
kadang hanya percuma
harga sekeping kekenyangan
atau seulas kelaparan
tetap perlu dibayar
keselesaan itu ada nilainya
kekayaan itu ada harganya
seperti miskin, perlu dibayar
harga tambang dan kertas
segulung bantuan
keselesaan dan kesesakan
keselamatan dan kebebasan
adalah belanja seharian
kita marhaen
telah dipukau
kemerdekaan itu
bukan percuma
Tuesday, January 30, 2007
Bisu Kita Dan Bisu Dia
senyap itu adalah pengantarku
namun bila ku bersuara
bisa menjentik hujung hatimu
aku buta
gelap itu temanku
namun bisa ku lihat
segala keji dan nanar dosa
aku pekak
sunyi itu duniaku
namun tetap ku dengar
degup gemuruh jantungmu
kau pun jua
bisu bila bersalah
buta bila tamak
pekak bila hilang amanah
Jeritan
bagi mengejutkan
seribu daya kebangkitan
atau mungkin (terlalu) perlahan
kedengkelan lenamu itu
keruh dengkurnya membingitkan alam
bangunlah!hering sedang mengelilingi kita
lalu ku simbah petrol ke atas tubuhmu
(ke atas lenamu)
"mancis mana mancis?"
Sunday, January 28, 2007
Terbang
bukan dengan sayap sepertimu burung
tapi seperti dia
dengan jimat cermat
jerih perih nelayan
aku mahu rentas
lautan tenang kebiruan
bukan selam sepertimu paus
tapi dengan layar seperti dia
hadiah dari dosa dan haloba
itu pun,
jika aku ini menteri
itu pun,
jika aku sudah buta
aku mahu terbang
bukan sepertimu unggas
tapi seperti dia
dengan penafian
kemelaratan marhaen
Friday, January 26, 2007
Pesan Untuk Pagi Dan Malam
wahai pagi
bukan dengan loceng
atau irama keluhan
tetapi dengan azan
subuh menuju kejayaan
sambutlah dunia
bagai belon berisi air
temankan aku
wahai malam
bukan dengan mimpi indah
atau dengan senda guraunya
tetapi dengan niat
menikmati 1 pertigamu
genggamlah akhirat
bagai nyawa dihujung ubun
Thursday, January 25, 2007
Musi(m)bah
terbongkar asrar
mencabar kata
mana, mantera?
musibah di musim bah
adalah tamparan
pada lalai dan lupa
menunjal bongkak
mana, alasan?
musibah di musim bah
satu tuntutan
dari tuhan
kepada manusia
mana, janji di azali?
Tuesday, January 23, 2007
Cinta Di Jilid Terakhir
hanya ada abu
dari memori yang terbakar
batu batu kerikil
berselang serpihan kaca
kasih yang berderai
kain kain putih
dikerat dua
cinta di jilid terakhir
hanya ada kubur
untuk tiga perasaan
memaksa merpati keluar dari sangkarnya
Semua
mencuri setiap nafasku
mengalih pandangan diri
saat mula rindu berbunga
cinta yang kau sisipkan
menjadi melodi terindah
untuk ku binakan semula
kota hati yang telah termusnah
cinta yang dihadiahkan
menari lagu kasih sayang
semula sepi berlalu pergi
tinggal kini hanya mentari
oh semuanya
kini aku berjanji
padamu pemberi cinta
aku hadiahkan segalanya
oh semuanya
kini aku menjadi pasti
dunia kelam menjadi indah
seindah masa pelangi tiba
cinta yang ku berikan
jadikanlah memori indah
jangan mekarnya sementara
moga kita kekal bersama
Saturday, January 20, 2007
Penantian Yang Terlalu Lama
masa melewati perbatasan usia
dikeliling saujana permandangan
keindahan kenangan
di tengah tengahnya duduk sekeping hati
kejap menunggu panggilan
seruan perjuangan entah bilakan tiba
perjuangan itu
adalah satu penantian yang terlalu lama
calak lilin yang terbit
dari jiwa jiwa yang runtuh
terliuk liuk ditiup badai
mulai padam satu persatu
perjuangan itu
sudah bermula setiap sekian
pada jeritan yang tercium
pada jejak kaki ketakutan yang berlari
saat ketika semua mengunyah leka
perjuangan kita
tiada medan,
tiada senjata dan kereta kebal
hanya pena, suara dan bahasa
Thursday, January 18, 2007
Seorang Ayah Dan Empat Orang Anaknya
seorang ayah
mundar mandir
di kaki lima
sebuah hospital
benih di hatinya marah
tidak dapat bersama
isteri tersayang
memegang ronta
pertarungan melahirkan cahaya
"duduklah ayah"
"tenteramlah ayah"
"serahkan pada tuhan!"
kata anak anak lelakinya
yang pertama, kedua dan ketiga.
gelombang resahnya reda
mendengar merdu suara tangis
hatinya yang gundah gersang
bagai disirami hujan bukan gerimis
syukur tuhan
genap empat anak lelakiku
syukur tuhan
genap jugalah padaku empat putera
bakal mengusung kerandaku nanti
mengadapMu.
dan,
bergemalah azan
menyambut dan membelai mesra
sehelai kain putih.
"putih,
tatkala aku menyambut mu
putih jugalah
bila kau memimpin ku pulang."
Wednesday, January 17, 2007
Apa Nama?
gagap mencari kata
atau satu kenyatan?
mahu bercuti di panama
apa nama, apa nama
gugup mencari alasan
atau satu rintihan?
"apa ama", "apa ama"
apa nama, apa nama
sentak fikir sejenak
mencari dalam minda yang kosong
apa nama bangsaku?
Sunday, January 14, 2007
Jiwa Jiwa Yang Merusuh
disapa duri duri
kemerdekaan
naungan pendusta
jiwa jiwa yang runtuh
pun merusuh
meluru pada kebebasan
mawar kebangkitan
sebuah penderhakaan
kepada kezaliman
sekuntum apinya digeruni
Tuesday, January 09, 2007
Ada Apa Pada Suara, Kopi Dan Tivi
pada suara
sayup sayup berterbangan
atau pada sisa roti
berselerakan dikeliling pinggan
pada susunan penipuan
yang dicetak berterlanjang
menggoda kepercayaan
apa ada
pada puluhan jiwa
yang terkorban bersama sisa
judi, petrol dan monoksida
perampasan berilmiah
secawan kopi atau teh atau sirap
sekeping kertas berwarna biru
berganti timah atau puas
sebagai baki
apa ada
dibalik kaca tivi
atau radio dan majalah
mukim perompak
sebuah bangsa
yang berpangkat dan berdarjat
mengelola taman indah
tanpa air dan baja






