Wednesday, September 26, 2007

Akulah lelaki itu

bila sahaja berbunga
resah di taman hati
kau sentuhan magis
menghijaukan kewarasan

dan camar ini pun terbang
kemana tetap ke sarang
kini dan selamanya
akulah lelaki itu

kadang mesra bersama
masa cuba menguliti
kaulah hadiah utama
yang tuhan beri padaku

setiap langkah berdua
cuba ku seiringkan
kini dan selamanya
akulah lelaki itu

sehingga,
selama mana pun
yang disisimu
akulah lelaki itu

Monday, September 24, 2007

Batu Dalam Sepatu

ada batu dalam sepatu
memberitahu
"tengok, yang menyakiti tapakmu
adalah sekecil aku, tanpa sedar
tidak terduga oleh akalmu"

sebutir batu dalam sepatu
memberhentikan langkah laju
memberitahu
"jelaskan kembali arahmu"

batu dalam sepatu
adalah ketukan realiti
memberitahu
"takkan aku di sini
andai akalmu tahu di mana hala tuju"

Saturday, September 22, 2007

Lelongan Di Pasar Metropolitan

jiwa manusia sudah
sehebat binatang
dan lupa pada tanah
asal kejadian malah
tempat menumpang

"manimu itu tika jatuh ke bumi
takkan diendah oleh ayam sekalipun,
jangan kau lupa!"

tuhan melihat
di pasar metropolitan
lelongan maruah
demi ringgit dan sen
syukur untukNya
hanya dihujung lidah

juadah di jagat nyata dan maya
menjadi rebutan
dan tuhan melihat betapa kita
menentang kebenaran
ketika dalam keimanan

Friday, September 21, 2007

Matinya Sekuntum Mawar

Untuk adik Nurin. Al-Fatihah.

Matinya Sekuntum Mawar

sekuntum mawar
terbiar layu, dikurung
di dalam sempit kotak kain bertangkai
hilang nyawanya
tanda hilang manusiawi
khilaf, yang enggan diperbaiki

semadikan mawar itu
sekali lagi, semulianya
tacakkan kelibat ihsan
di kaki dan kepalanya
beradulah sayang
biarkan runsing
kami yang endahkan

jiwa kita melara
terperangkap dicelah celah
bangunan tinggi metropolitan
nyawa mawar itu
adalah harga yang harus dibayar
demi impian mengapai bulan
membelakangi tuhan

Wednesday, September 19, 2007

Angkara Engkau

mungkin(kah) gunung dan bukit
sedang memarahi bumi
"engkaulah! engkaulah!"
tudingnya

mungkin(kah) langit pula
sedang meludah bumi
"engkaulah! engkaulah!"
hamburnya

dan bergolak rasa resah
mendendami ketidakjujuran
kita, kecewa lalu dia
pun menggarangi kita

bangkit manusia mula bertingkah
angkara siapa?

"engkaulah! engkaulah!

Monday, September 17, 2007

Bangkit Menemui Pagi

itupun telah jatuh berderai
airmata tuan iman di jiwa
antara sela tangan terangkat
memanjat doa

seluruh malam indah heningnya
dalam sepi sayu bayu berbisik
satu suara melontar kalimah
kudus, kata kata tuhannya

dan di mana tumbuh pohon berlindung
dari terik dosa memancar
apa yang telah aku lakukan?
mana hilang sepadang rumput
subur untuk jiwa yang gelisah

tidak masa kuharap lalu perlahan
biar dihujungnya takdir yang telah bergema
tetap ku sujud ampun,
keinsafan ku ini tuhan, biar dapat lagi
bangkit menemui pagi

Wednesday, September 12, 2007

Mencari Nur Qalbi

suluh bagai bersungguh mahu
cari mana sembunyi
di antara satu ruang cahaya
bertompokan di dalam gelap
cari di mana, redhaNya

begini lagaknya, malam semarak
berarak gelita menutup seroja
putih kelopaknya kering
kian, merasa waktu memamahnya
bakal punahkah ini kala menuju
ketenangan

sudahlah, sunyi meluka nurani
melompang puri sanubari
tercalar sehalus rambut
membuka luka jiwa
tuhan, singkapkan sekali lagi
indah cinta nur qalbi
riasan kalbu hingga bisa
terbang mengawan segala rewan

Sunday, September 09, 2007

Di Ambang Ramadhan

di ambang Ramadhan
ada kaki yang kecundang
melintasi qalbi
mencari mutiara hati
tersembunyi di dalam kolam yang keruh
jemput si undan singgahnya tiada
memanggil kedidi terbang menjauh

sepekan sudah waktu bertemankan sunyi
merimbun duka mengait syair terpinggir
mengharap rahmat titis air langit
menangis, renyai berderai harapkan
sudahnya terik mendung bertamu enggan
pula bayu membisu

kian hari hati merekah gersang
dalam diam relung hati rajuk berbisik
kata pujuk mana dirujuk, di situ pulang hampa
diam saja bermuram durja
melangut di antara malam
mencari hilang penglipur lara

tafakur jua dalam akur
dulu lupa, kini kembali
pada sejdah usang itu jua
tersambut titis kesal airmata

Dongeng Melayu

dan bangsa ini,
berbangga dia bila lupa
adab bicara, santun berbaju
adat berhajat, malu bersahut
atau keras mantera jari menari
merasap keris

mana hilang seni budaya
pantun bersahut
syair mengiring
salam tangan kejap bersambut

apa yang tinggal
kemelayuan itu
hanya dongengan

apa yang tinggal
kemelayuan itu
hanyalah, kemaluan!

Tuesday, September 04, 2007

Tuhan Sedang Tarik

tuhan sedang menarik perlahan lahan
(mungkin)
sehelai benang di dalam tepung
agar menepati bidalan
yang ditempa dari akal manusia

tuhan sedang menarik perlahan lahan
sehelai benang di dalam tepung
sangat perlahan
hingga manusia menjadi bosan menunggunya

tuhan sedang menarik perlahan
benang itu
kerana janjiNya dimungkiri
kerana wujudNya dinafi
kerana kalamNya dikasari

Sunday, September 02, 2007

Sayang Marhean

sayang marhean
bergolak bergadai nyawa
saban hari menentang arus
satu sistem
takluk kebijaksanaan
dengan rona sesat gemirang

sayang marhean
jantungnya sentiasa terlepas
satu degupan setiap minit
satu sitem
membebaskan nafsu
untuk penuhi tuntutan batin mereka

dirompak! nafasnya
dirompak! akalnya
dirompak! segala gala

hingga lumpuh sakit melarat
membawa payau kahak
yang tersekat dikerongkong
membawa beban galas merah bahu
hingga ke kubur

sayang marhean
mengeluh kesah resah kecewa
tanah halaman berlubang lubang
satu sitem
memutus urat urat kaki
hingga tiada mampu berdikari

Yang Terindah

yang amat terindah
dalam diri
bila hatiku sujud kepadaMu
setiap butir kalimah
yang diucapkan
bagai ada manik manik
cahaya berterbangan

tiada terbanding
segala yang terindah
kerana, semua milikNya

yang amat terindah
di malam sunyi
keheningannya menyucuk iman
setiap butir doa
yang ditadahkan
berjalur jatuh berderai
di mata titis keinsafan

tiada terbanding
antara segala dosa
dengan keampunanMu

tiada terbanding
segala yang terindah
keranaMu, tuhanku