Friday, June 19, 2009

Wednesday, April 22, 2009

Teratas Dari CInta

Kasihnya Hujan



P/s : sajak ini aku ambil kata-katanya dari isen Bunga Rampai yang bertajuk Kasihnya Hujan.

Surat Kepada Bangsa

Monday, March 23, 2009

Alas Bangsa

ada bangsa di bawah
tapak kaki politik
yang bersarung kasut berjenama

katanya,

buat pelindung cair lopak
dari luka sepak terajang agenda

eh!
tidak beralas bila
yang kena, kakinya!

ada bangsa di bawah
tapak kaki politik
menjadi alas kasut mahal
tunggu masa ditukar
setelah berjangkit
bau busuk kaki

atau haus meredah cair lopak
dan puas menyepak agenda

Friday, March 20, 2009

Bicara Politik Nasi Lemak

nasi lemak berbicara
tentang timun yang sudah selapis
disisip sisinya
tentang santan bergaul air
sedang bilis menajis
di alas duduk daun pisangnya

nasi lemak berkata
sambal mengamal politik pedas
namun isinya sifar
hujah bawangnya sudah dicatu
tukang masak
hatta garam dan cilinya pun

harga diri, kataya, zaman ini
tidak jati. ideologi parti.

jika telur mata RM2.00
jika sotong RM3.00
jika rendang RM3.50

namun aku, nasi lemak
harum pekat santan
menusuk hidung menjajah lidah
manifesto sambal pedas serata masin dan manis
diapit bilis bersih hadasnya
huluran salam timun berlapis
lebih utama nikmat dari diadun
tawar sotong, lebihan bau serai rendang
atau sejuk telur mata yang buta

Monday, February 02, 2009

Terima Kasih Israel

terima kasih israel
kerana mengalas jalan syahid
dengan permaidani merah basah

terima kasih atas sanjungan

juga kerana taburan bunga
hangit walau ia,
adalah sebab itu
unggun semangat kekal menyala

terima kasih israel
kerana menyentap rantai demokrasi
terbangkit kami dari lena dunia

terima kasih atas ingatan

juga kerana sentakan itu
penyebab kesedaran
masih rupanya ada
saudara kami di Palestin

terima kasih israel
menyiangkan langit malam
buat penyuluh jalan syahid

terima kasih di atas bantuan

terima kasih,
israel.

Bila Bela Belia

bila bela belia benci dadah
diasuh pula bukan bersuci
hati, jiwanya didandi
asyik pada sinar bintang

pecah ruyung bagaimana carapun
walau tidak beralas tumpahnya
asal sagunya dipinggan
asal dapat dirasa
tercemar seperempat apa dikira

bila bela belia benci dadah
belalah juga belia cinta agamanya
tuhannya, saudaranya, akhiratnya

endahkah?

Sejuta Dari Palestin

Noda Di Palestin

palestin dinoda lagi
tubuhnya didera
dan menjadi ulam
sarapan pagi atau makan malam
tontonan saudara saudaranya

suis simpati dipetik lagi
titis airmata meringgit
apakah sampai? kuntuman sedekah
bila seguninya dipinggang
si buncit sekular

apa yang didendam
pada palestin?
hingga enggan dikirim
senjata pembalas luka
para fisabilillah
berkongsi derita
maruah ihsan bersaudara
penambah kuasa

apa yang didendam?
hingga tangan-tangan kita
bacul mengangkat senjata

palestin ternoda lagi
gugurnya bukan kerana zionis
kerana gentarnya nafas
persaudaraan kita

Tuesday, December 16, 2008

Menunda Mati

betapa mahu
menunda giliran menunggu
menaiki limo mewah

ronda kota sekali lagi
belum balang puas tertumpah
isinya

belum lagi hembusan dingin
merayap segenap muka
incinya

betapa lupa
keasyikan itu dimeterkan
bakal dituntut hujung perjalanan

Thursday, December 11, 2008

Beban Bahu Bumi

menjadi kuli, bumi
betapa lelah menuruti
kehendak insani
telah bercucuran belas dari lagit
dipinta kerah masih
menggalas peradaban berguni

dan lucut muatan
kerana lecuh dan lenguh
menggelusur merempuh
manusiawi

lalu dibuat pelantar
diikat dipaku dibahu

menjadi kuli, bumi
tersungkur lagi
rebah menatap langit
suara tangis insani tiada dipeduli

runcing jari menuding bumi
"kau kuli!"

hingga lupa bertanya
siapa mengikat, memaku
dibahu siapa
mengerah menuju keluar batasan

Thursday, November 06, 2008

Motif

motif

lagak datang berhajat
tembikar lusuh dipegang
emas menjadi
pujuk suruh bergadai
kerak nasi ditanak
nanti peram, lama ulamnya daging
bersurut terus zaman anang
kononnya, ganti berganda!

lalu datang menuntut
sekian zaman mana,
kunci meluruh tegang
ikatan harapan

derhaka!
sudah terhidang, tersuap,
sudah menyusur, teralir
sudah terang, berdendang
merdeka itu galangnya!

adat melayu kita
mudah lupa, akan
surut badai menyisakan susah

Friday, October 31, 2008

ironi

apakah bila luputnya
nanti, punca kehidupan
manusia baru teringin
berhenti berperang?

atau kekhuatiranku
benar,

manusia tidak lupa berperang
selagi genggam penumbuknya upaya
akalnya masih jaga
selagi tubuhnya mengempang nyawa

ironi

apakah bila luputnya
nanti, punca kehidupan
manusia baru teringin
berhenti berperang?

atau kekhuatiranku
benar,

manusia tidak lupa berperang
selagi genggam penumbuknya upaya
akalnya masih jaga
selagi tubuhnya mengempang nyawa

Saturday, August 23, 2008

Manifesto Songsang

terdetik waktu untuk berbisik
pada jiwa jiwa luka
bakal ribut di galengan
kan terdampar percuma
pengaturcara dibakar sebulat cakera

manifesto songsang
siratnya hukum kan dinaiktaraf
islam versi ke 2

nun jauh sayup galgal
suara anak anak gagak
kononnya rezeki dibahagi dua

(walhal masih lagi rezeki bapaknya diragut tiada pula pandang diendah!)

Mencabut Matahari

kalau boleh
mahu dicabut matahari
dikerat kerat dan
diniagakan

kalau boleh
mahu dikurung pelangi
menjadi medan menarik
jahil

kalau boleh
tidak mahu memanusiakan diri
demi gentar
genggam dunia di kocek
tercicir

Merah Barah Marah

berdenyut denyut medula
menahan getar amarah
yang menyucuk nyucuk
sekitar dindingnya

tali logik tertarik
tegang hingga timbul
seluruhnya

tersentap nyawa hati
-pecah medula
-putus logik
sekitar suasana hayat

terhambur perasaan
merah barah marah
sawan pertimbangan
maka tinggal jasad iman

Pentas Jahanam

Patriotik Sudah Mati