Monday, July 31, 2006

Aminkan Bersama

menari tari tarian perang
berjengket jengket menggeletek bumi
harus malam tiada bulan
bila siangnya sudah gerhana
harus darah balasnya darah
hutang nyawa kan dilunas sudah
api di lawan api
airmata bukanlah pemadam
itu semarak bara menyala
setitik jatuh
setitik gugur
menjadi benih bercambah subur
di dalam jiwa
berbunga dan berbuah

menari tari tarian pedang
tangan berhayun menyapa angin
harus malam tiada nampak
bila nyawa meninggal tuan
sujud bersama memohon restu
doa ditadah mohon bersama
seribu malaikat minta diturun
ulang sejarah burung ababil
doa ditadah amin bersama
sebelum berangkat meninggalkan dunia

"Ya Allah ya tuhan kami
berilah pertolongan berilah pengampunan
tetapkanlah iman di hati
jangan di biar goyah berputus asa
biarlah kukuh dalam musibah
relalah mati di dalam sengsara
dari hidup diulit leka
berilah kekuatan iman di hati
andainya kami goyah takwa di jiwa
syurga firdaus Mu kan menjadi sepi."

amin.

Monday, July 24, 2006

Seluruhnya

aku pintakan untukmu mentari dan awan
bulan dan bintang jika perlu
semua yang berada di bimasakti
aku pintakan untukmu
langit dan bumi

segala kebahagian di dalam hidupku
kegembiraan, cinta dan senyuman
secara kesuluruhannya aku pinta
agar dapat kau berdiri megah

aku pintakan untukmu segala getaran
segala lagu dan irama
harmoni dan simfoni
keseluruhannya
aku pintakan untukmu

Tangisan Junjungan

menangiskah kau Muhammad?
bila melihat umatmu
bagai kapas ditiup angin
terumbang ambing di laut tenang
bergelumang bagai kerbau
di dalam lumpur kesesatan

tumpahkah air mata sucimu?
pabila saf saf yang didirikan
dipenuhi dengan celahan
laluan para perompak iman
menjadi denai dan sungai
pada janji syaitan yang direjam

degilnya airmati kami ya rasulallah
sedegil nafsu yang menjadi konkrit
tiang seri pada kebendaan
bongkaknya kami hingga tiada berdoa
meminta dilindungi
dunia dan akhirat

menangiskah nanti kau muhammad?
bila melihat kami berbondong bondong
dengan pelbagai aksi dan gaya
juga rupa yang tiada manusia
berkat ilmu yang dipelajari di dunia
berbaris menemuimu
dengan tiada rasa malu meminta syafaat
dengan sejuta tangan menatang
segunung nasi yang sudah menjadi bubur.

Saturday, July 22, 2006

Cinta Pada Pandanganku

cinta adalah
keindahan seni yang berserabut
seperti gambar 3 dimensi
kau tidakkan tahu apa di dalamnya
selagi tidak kau telaah ia

juga bagai
komet yang menghentam dada bumi
roket yang membelah dada langit
dan laksana petir yang mengempur malam
ianya pekak dan buta
ia milik kau dan aku
seterang putih awan
sebersih kapas berterbangan

cinta itu buah fikiran
pada apa yang kau lihat
cinta itu pemenang pada segala galanya
pada hati kau ia bertapak
juga pada bumantara dan butala

lahirnya dengan pelbagai wajah
kerana ia datang dari serata tempat
yang indah itu janganlah dirosakkan
kegembiraan itu
tak perlulah disedihkan
cinta itu kedamaian
ah, bergaduh juga kita sekali sekala
itu baja untuknya mekar

bukalah pintu
kerana cinta itu adalah tetamu
yang datang membawa
kebahagian, keinsafan dan kemakmuran

Thursday, July 20, 2006

Anak Anak Bangsaku

ke manakah kaki kananmu melangkah?
adakah ke penjuru dosa
atau ke padang akhzar keilmuan?

bukaan hatimu itu
jangan biar kufur menjadi tamu
hiaskanlah ia dengan taqwa
moga dunia bakal merasa rahmatnya
moga dunia bisa lena bahalanya

basahkanlah bibir mu itu
dengan nama namaNya
hikmatnya menjadi antakesuma
perisai umat seluruhnya
dan doa itu senjata
kerana kitalah tukangnya

sedarlah,
anak anak bangsaku
tangan tanganmu itulah ubat
pada setiap sengsara
peluklah keimanan itu
seperti tiram mengeram butiran pasir
agar engkau tidak mengeluh
pada hujan yang kau pinta.

anak anak bangsaku
lurus dan rapatkan saf!

Wednesday, July 19, 2006

Hentikan pertelingkahan Kalian (Ianya Sudah Bermula)!

lihat, ianya sudah bermula
debu debu runtuhan
acapkali menjadi nafas
api letupan kebinawahan itu
adalah ganti lampu lampu neon
yang bergemerlipan
bagai bunga api ketika menyambut
sebarang perayaan

hentikanlah sengketa kalian
mahu berapa nyawa melayang
baru mahu bersatu?
mahu sehebat mana tohmahan
baru mahu berganding bahu?
mahu berapa banyak
kupu kupu syurga menjadi abu?

seharusnya kita
cubitan mereka harus dibalas
dengan penampar sejuta umat
hentikanlah pertelingkahan!
saat ini kita harus bersama!

kumpulkan bala tentera yang ada
panggillah para pemuda pemudi
siapkan segala senjata
walau hanya batu dan tanah
siapkan segala galanya

aku sedang menaiki tangga
menuju ke bilik pemimpin negara
dengan satu niat; menepuk dahinya
bangun!
ianya sudah bermula!

Tuesday, July 18, 2006

Mentari Dan Bulan

jika diberi izin
aku mahu bercuti hari ini
kata mentari
biarlah gelap pada siangnya
biarlah malam dan siang
menjadi sama
moga moga dengan itu
akan terhindar malapetaka
akan terbasuh duka nestapa
bisa berbunga kedamaian
di dalam suasana gelap gelita
aku mahu manusia teraba raba
hingga terlucut segala senjata
semoga terlerai semua sengketa.

jikalau engkau bercuti mentari
mana dapat aku meminjam cahaya?
sahut bulan
di mana harus aku menumpang terang?
di mana pula punggukkan merayu?
sinarlah mentari
moga moga degan sinaranmu itu
dapat jugalah si ibu mencari
kasih sayangnya di bawah runtuhan batu
dapat juga mereka mengutip
cebisan cebisan cinta yang bertaburan
dan disatukan di dalam lahad
sinar semulalah mentari
agar dapat mereka lihat
segala kebesaran
semoga terang jalan para syuhadah
yang sanggup berkorban
demi menjinakkan kezaliman.

Mencari Identiti

mencari
di dalam gelap
ia sudah ada di jiwa
tetap dicari juga
hingga keliru

layu pohon yang disemai
dari azali
gugur daun daunnya
sebelum sempat
berputik dan berbunga

kalau aku mempunyai kuasa
akan aku tepuk dahi dahi kalian
identiti kamu islam! faham?!

Sunday, July 16, 2006

Perutusan Dari Malaya

salam dan saapan saudara saudaraku
di dalam gejolak resah kalian
tetap juga aku mahu bertanya
apakah khabarnya ibu ibu?
apa ceritanya para bapa?
sakit lagikah luka itu anak anak kecil?
apakah khabarnya dendam para pemuda mudi?

di dalam porak peranda tanah negara kalian
tetap jua aku ingin ucapkan salam sejahtera
salam selawat ke atas junjungan besar kita

kehadapan saudara saudaraku sekalian
ini perutusan dari Malaya
kali ini kami di sini mencipta sejarah
kami robohkan dinding dinding demokrasi
sudah sampainya maruah itu ditebus
sudah sampainya kami menyahut
seruan seruan yang telah lama engkau laungkan
kesejahteraan di Malaya ini
amatlah tidak bermakna
selagi darah darah tubuhmu terus melimpah menjadi tasik

nah! lantaran itu kami kira cukup
jika diutuskan kepadamu seekor singa
di mana kepalanya
sedang berada di pinggir sempadan negaramu
manakala ekornya
sedang kami pegang dari sini

ah! itu pun sekiranya
kami di Malaya ini
sudah bangkit dari lena yang panjang
itu pun jika kami,
tidak kecut!

Thursday, July 13, 2006

Sutera Pelangi

diwaktu waktu begini
saat hujan membasahi bumi
dan bila putik mula berbunga
disirami cahaya matahari
akulah yang menikmati
keindahan

aku mahu suara burung
berkicauan di tengahari
atau suara kumbang
bergetar bila mencari
madu madu cinta
nusantara

biarkanlah gunung gunung
segak berdiri diatas bumi
jangan cemburu pada langit
yang memutih dan berseri
saksikanlah wahai kawan
biru laut itulah
pedoman

untuk hati yang hitam jelaga
ku hadiahkanmu hamparan
yang ku jahit sendiri
dari sutera sutera pelangi
pagi dan petang

Wednesday, July 12, 2006

Bila Suis Dimatikan

pabila suis dimatikan
kita pun lupa pada Palestin
yang sedang diperkosa
pada Iraq
yang sedang dirampas haknya
pada mata jembalang yang memandang
pada hati yang merencana
senario syaitan
di Iran

hati kita lupa
pada tiang tiang agama
yang sedang dimakan anai
kelalaian kita
menjadi barah pada agama
kita angkat sumpah neraka
kita tinggalkan bekalan akhirat
hingga menjadi basi
dimakan kulat kulat dosa

dan bila suis itu dimatikan
kita lupa tuhan pernah berkata
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia
melainkan permainan yang sia-sia
dan hiburan yang melalaikan"

Ketika Dunia Berputar

ketika dunia berputar
anak anak bangsaku
semakin gagah dan megah
di persada kehancuran
kehidupanku aku
kehidupanmu kamu

walau aku berjalan di malam gelap
bayang itu tetap jua mengekori
keimanan itu perit ditelan
hingga esok memohon maaf
kita mula mencari
satu lagi planet selamat diduduki
persaingan ku adalah penjara
ketika dunia berputar
masa itu adalah perang
rencana para samseng bertali leher
harga dosa terlalu murah
hingga melimpah ruah
menenggelamkan setiap ruang

semakin ramai bakal terbakar
ketika dunia berputar
anggaplah ini satu undangan
kepada dunia kemasyarakatan samseng kita.

Monday, July 10, 2006

Epos

nafiri mengalun lagu
iramanya perlahan
umpama lagu raja raja beradu
saat terang awan mula berubah warna
keperangan langit itu
mula mengadun bersama
darah darah yang tumpah
di atas lantai bumi

dan keris keramat
itu diasapnya
dengan limau
dengan bunga tujuh serangkai
kemenyan itu mula
menggetarkan urat uratnya
epos perang yang kini nadir
itu diratip
saat jari jemarinya lantas
menari nari dibadan keris keramat
semangat mula menular
meresap ke seluruh tubuh

langit perang kini gelap
epilog perang sekali nyawa
mula dipentaskan
berlari dia di atas angin
hikmat batin yang diwarisi
kanan keris keramat
kiri jari manis cincin gokka
berlari dia di atas angin
dengan satu niat
cari dan musnah

Sunday, July 09, 2006

Selamat Tinggal Bumi

katakanlah bumi
tempat mana kau mahu disemadikan
adakah di marikh?
atau uranus?
atau di planet paling hujung
jauh dari matahari?

katakanlah bumi
tanah sebanyak mana harus aku cari
untuk ku kambus jasadmu?
atau aku harus mencubit matahari
meminjam secebis baranya
agar kau luluh menjadi abu?

cukupkah para syuhadah
mengiringimu ke kuburan?
cukupkah sehutan kemboja
menghiasi persemadianmu?
cukupkah air selautan
untukku siram tanah merahmu?
atau kau mahu airmata sesal kami semua
menjadi mandian terakhir mu?

bukalah matamu bumi
nyatakan dengan jelas
apa saja pinta terakhirmu
akan aku usahakan
demi khuatirmu dulu pada manusia
demi nazakmu kini kerana manusia

Ayah

dulu

sewaktu mata kecilku
pertama kali melihat dunia
sentuhan tangan kejal dan kasarmu
menyentuh halus putih kulitku
dan pertama suara yang ku dengar
ialah dendangan azanmu ditelinga
suara garaumu itu
meruntun jiwa halus ibu.

dan tangan kejal dan kasarmu itu jua
menjadi pemimbing diriku
sejak ku mula belajar bertatih
hingga pantas kaki berlari
di dalam dakapan hangat mu itulah
tempat kau menyambut aku
ketika terjatuh

kau mengajarku tentang dunia
tentang taring taring yang berbisa
kau lengkapkan ku dengan azimat
ubat penahan duka
kau sertakan ku dengan kain pembalut sengsara

dunia itu bulat katamu
"susurilah ia dengan iman dan ilmu
bahagia itu pasti menjadi milikmu"

kini

tangan kejal dan kasar ku pula
menyentuh lembut dingin tubuhmu
suara garau takbir ku pula
mengiringimu ke pangkuanNya
ayah
setinggi mana bakti yang kau bajai aku
lemah bila aku ketahuihanya doa buat pembalas budi
semoga amal bakti ku nanti
menjadi cahaya untukmu
dalam perjalanan bertemu Illahi

Bawakan Aku

bawalah aku kepada air
yang bercahaya seperti cermin
bercahaya seperti kristal di atas meja
buat kan aku terapung
agar dapat aku lenakan sengsara
amarah dan duka hari hari ku.

bawalah aku ke langit
yang biru dan memutih
seumpama dakwat pena di atas kertas
coretkan nada nada cinta
sehingga terpadam segala sumpah
sarungkan kebencian itu dengan sepasang sarung tangan.

bawalah aku ke bintang
yang bersinar gemerlapan
tenteramnya seperti perkataan tenang
kemudiannya aku mahu dudukdi atas bulan purnamas
enang dapat ku lihat dunia di bawah
senang dapat ku lambai kepada semua.

Tuesday, July 04, 2006

Mana Hilang Nafasnya

andai tawa
penawar duka
bisa sembuhkah
tanah berdarah
di mana lukanya?
di mana nanahnya?
diam yang engkau sembahkan itu
racun hidupnya

andai senyum
pengubat lara
mengapa terpadam
lilin membakar
ke mana nafasnya?
ke mana nyawanya?
anak kecil menjadi taruhan
percaturan binawah

bentala bergegar
dadanya dibedil
sejuta merintih dan anak
menjadi korban
dan kita membisik hiba
abuh hanya sebentar
mana hilang kemanusiaan?

siang menjadi saksi
malam pun merintih
bulan mula merajuk
hilang cahaya
merangkak dendam berlari
pergi membalas darah
terpadam satu lilin perjuangan

andai sentuh
menjadi semangat
akan ku sentuh seluruh bumi
biarkan mereka
sorak ketawa
ada ketika ini nanti
mereka menangis

Kemenangan Itu Kita

mereka akan datang
bagaikan lautan
merempuh kita semua
sekuat arus badai
kita akan lemas
lemas selemasnya

mereka punya kelebihan
dari teknologi dan taktik
juga dari segi jumlah
tentera yang akan berlari
dengan satu niat
kemusnahan kita semua

tetapi kita akan bertahan
dengan ikatan ukhuwah
dengan kalimah Bismillah
dengan laungan Allahu Akhbar
kita akan bertahan
sehingga akhir ke akhirnya

kerana kita juga
punyai kelebihan
doa dan kepercayan pada yang Esa
kemenangan pasti milik kita
sekuat mana badai yang meluru
takkan berganjak gunung yang dirempuh.

Lagu Yang Aku Nyanyikan

aku nyanyikan lagu ini
pada unggas dan mergastua
diamnya dihutan besi
palang palang sempadan tangan
yang duduknya ditanah simen
sedang perut lapar entah diisi entahkan tidak

syukurlah wahai nuri
syukurlah wahai penyu
syukurlah wahai singa
pelangi itu
belum mampu mereka kurungkan

aku lagukan puisi ini
pada buluh katanya perindu
yang bila angin membisik lalu
lalang lalang sibuk berdesir
tentang debu debu kemusnahan
menjadi baja pada sekelian

syukurlah wahai pantai
syukurlah wahai ombak
syukurlah wahai gunung
gerhana itu
belum pandai mereka putihkan

dan bila dosa memeluk manja
hati semakin lena tidurnya
mana jari memetik tali?
mendendangkan lagu kedamaian
kisah manusia yang sedang mewah
dengan nikmat bukan miliknya

syukurlah wahai bunga
syukurlah reranting patah
syukurlah buah yang berguguran
mentari itu
masih lagi ada di timur