Thursday, May 31, 2007

Dinding

dinding itu kehitaman
bisu seperti hari hari berlalu
aku benci dinding itu
ketebalannya, ketinggiannya

sedikit
lumut lumut hijau bertebaran
cuba menjajah hitamnya
aku cuba meriahkan dadanya
dengan awan,
gunung, burung, angin
harimau dan roket
namun tetap kelam walau dipelangikan

kerana ia di situ
aku terbatas
kerana ia di situ
lumut lumut hijau tewaS

akan runtuhkah dinding itu?
jika aku hanya berkomplot dengan amarah
sedang logik akalku
di belakang tersenyum
memerhati

Tuesday, May 29, 2007

Monday, May 28, 2007

Thursday, May 24, 2007

Ijazah Akhirat

dunia adalah
dewan peperiksaan
dan ajal itu
minggu peperiksaan
sedang mungkar dan nangkir
adalah kertas soalan

ketahuilah
alam barzakh itu
adalah cuti semester
sementara menunggu akhirat
keputusan samaada berjaya
menerima segulung ijazah
atau sekadar satu transkrip kosong

Tuesday, May 22, 2007

Hatimu Tahu

satu kehidupan yang indah
pasti,
ada lembaran hari dilepaskan
bersama dugaan
yang kemudiannya
menjadi perca kenangan

dan naluri mendesah
mahu mengimbau dalam senyuman
menderai tawa
hingga rindu bersimpuh
di relung hati

satu kehidupan yang indah
terkadang tiada yang enak
untuk di jamah hati
terkadang dihampari kejutan
disebalik pelangi

Dalam Ingatan

aku,
hampir sahaja menitiskan airmata
saat berita yang kau sisipkan;
"kembaraku sudah sampai penghujungnya"

aku bukan
bumi tempat hamparan
hentakan kaki dukamu
aku bukan angin
yang cuba berbisik kata kata hikmat
bukan juga matari
yang mahu menghambat mendung hatimu

namun aku ada sebuah bingkai
di dalam ingatan
di situ abadi nanti
segala memori antara kita
sehingga kembara ku pula lelah
di penghujungnya

sahabat,
semoga segala duka dan derita
bisa mengindahkan rumahmu
di akhirat sana

Monday, May 21, 2007

Kasut Baru Seorang Menteri

dinihari menampakkan diri
di hadapan cermin hari
seorang menteri
tersenyum sendiri
menggilap kasut baru dibeli

disarung perlahan berhati hati
hingga penuh tapak kaki
berbunga jiwanya seorang menteri
terngiang kata pakar motivasi
kasut baru,
penambah keyakinan diri

soerang menteri
hari ini di dinihari
salam dilontar hormat diberi
disambut dengan cuka
masam dimuka

ah sayang,
kasut baru penambah keyakinan diri
belum lagi tengahari
sudah terpijak tahi

Saturday, May 19, 2007

Hilang

malam,
yang dijajah bintang
aku kehilangan
sinarannya

malam malam begini
aku mengharapkan
hujan kan turun
dari berajakan bulan
yang tiada dapat menyuluh
satu kehilangan

Wednesday, May 16, 2007

Nasi Dan Ubi

titik peluh itu
menerangkan sepadang hutan
menjadi pusaka, harta
nasi dan ubi, selalu berlebihan

datang kemerdekaan
di hari muka
bersama tongkat keangkuhan
sepadang hutan pun digembur
disemai besi dan bata

melalanglah kemodenan
diantara pusaka
lalu nasi dan ubi
dicatu lima

Sunday, May 13, 2007

Atas Nama Perjuangan

kejutkan realiti
yang terlena di dalam akalmu
kerana anai anai
telah bermukim di bawah tilam

di atas nama perjuangan
memfitnah insani
menipu kebenaran
membiar tin tin kosong
bersepah di bucu mulut

di atas nama perjuangan
kembalikan patriotik
kepada kami

kerana tuan,
selamanya berpayung
hanya menambahkan kekotoran

Tuesday, May 08, 2007

Surat Kepada Bintang

surat kepada bintang

kirim, sepintas kelodan
buat pengganti sumbu pelita
yang telah kering
agar kembali malap di belakang terang

kirimkan, sekeping tembaga
dan tempa diatasnya madah
sebaris kata hikmat
selaut rasa kebiruan

bacakan bintang kepadanya
bisikan ku,
gelisah itu sekadar kanak kanak
yang mahu dimanja dan dibelai
hadiahkannya,
sebuah tahajjud dan kalammullah
kelak berhenti rengekkannya

Monday, May 07, 2007

Zib

purnama siddi mengundang zib
membuak cinta di dalam hati
yang tidak kedap udara
dan pungguk terpaksa berkongsi rindu
kerana purnama siddi
menundang zib

wayu menderu memberi arah
di dalam gelap belantara
mana rebahnya amanah
mana getar jantungnya

dan zib menyusup bagai perwira
mengendap mangsa
dengan bengis, tajam kuku dan gigi
serakus nafsu laparnya
menerkam dan membaham mangsa
hingga tidak tersisa

malam, pungguk menjadi kaku
menyaksi pesona psikotik arjunanya
lolongan kejayaan zib mengejar debarnya
suluhan purnama siddi girang membelai
dalam upacara menyembah korban

Saturday, May 05, 2007

Ceritalah Lagi

ceritalah lagi malam,
tentang hijrah yang kau temani
tentang sejuk yang menggigit
tentang ribut pasir yang menyapa

ceritalah kembali bumi
saat dirimu menjadi hamparan
tubuh para syuhadah yang rebah
dan dengan rela membiarkan
darah mereka membasahi mukamu

ceritalah semula matari
bagaimana terikmu telah dikerah
memamah kulit para pencinta
menyelar sekujur tubuh
yang tenang menyebut
ahad, ahad, ahad

ceritakan kepada kami
yang berkemarau dan berhujan
dengan alasan, kemurkaanNya

Tuesday, May 01, 2007

Aku, Lalat

umpama lauk terdedah
atau bangkai bergelimpang
baunya umpama kad jemputan kahwin
sang sahabat, menjemput aku
menjelma menjadi lalat

berapakah harga maruahmu itu?
samaada yang ternganga atau terkatup
menggoda mata kumpuanku
agar menjilat, menyeluruhi
menyoroti dan berimaginasi
sewayang nafsu berahi

sayang srikandi,
kita bayar maruahnya
dengan sepinggan pizza
setiket wayang
sekalung kencana
dan seliter keseronokan