Wednesday, May 24, 2006

Suami Dan Isteri

abang,
sayang saya,
ada setinggi itu?

tidak.

muram.

abang,
cintakan saya,
ada seluas itu?

tidak.

muram.

abang,
rindukan saya,
ada sedalam itu?

tidak.

muram.

walau tidak setinggi kinabalu,
sayang ku,

walau tidak seluas sahara,
cinta ku,

walau tidak sedalam lautan,
rindu ku,

cukup sajalah,
andainya aku berjanji,
tidak menduakan mu walau itu hak ku,
sentiasa diingatan manis senyumanmu,
walau sejauh mana aku berlari,
tetap jua aku kembali,
pada enak masakanmu.

senyum.

Monday, May 15, 2006

Cinta Yang Digendong

Kalaulah cinta sebesar dunia,
mahu digendong bahu yang sama,
apakah bisa lurus langkahnya kaki?
jika hanya digendong seorang diri.

Kalaulah rindu seluas lautan,
mahu direnang ke sebelah sana,
adakah dapat dilunas segala duka?
hanya dengan seutas kata.

Mahukah dikau janji setia,
andai ku tagih maksud yang sama?
mahukah nanti sabar berdua,
andai sengsara menumpang bahagia?

Kerana cinta itu,
bukanlah bahagia.

Semut Merah

Kita semua bagaikan semut,
merah menyala bagaikan api,
kita yang kerdil pada mata mereka,
sekumpulan gajah yang gagah perkasa.

Namun kita,
kecil kecil cili padi kata bidalan,
asal bersatu kita teguh,
asal bercerai kita roboh.

Dan kita semakin hari makin dihimpit,
diasak dari setiap penjuru,
mereka memandang rendah pada kita,
kekuatan semut merah, andainya kita bersatu.

Bangkitlah wahai umat,
kuasa kita berjuta ganda,
sudah sampai masanya kita merubah sejarah,
sudah tiba waktunya kita bebas dibumi merdeka.

Dan biar dunia saksikan semula,
cerita dongeng rakyat menjadi nyata,
berjuta semut merah,
menumbangkan sekumpulan gajah!

Monday, March 06, 2006

Sulaman Cinta

Warawiri hati yang dilamun,
jadi serobeh tutur bicara,
bukan semu bila bertentang mata,
kerana itu tuturan ikhlas.

sempuras hitam kini putih,
pilanggu hilang entah kemana,
akibat rasa gelora asmara,
laksana pesona merantai jiwa.

murup bagai kekunang ditengah malam,
muris bukan ditenun besi,
rasa kasih terpahat sudah,
indah teratur dihati sulaman cinta.

- buat adinda ku puteri nor azani dan anakanda ku muhammad amirul adib.

Bengang

Bengang aku masih belum reda,
bengang jua para sahabat,
bukan bengang membuta tuli,
tetapi lahir dari hati,
yang melihat,
saban hari makin sempit,
itu dan ini,
umpama tali penjerut,
menjerut leher secara perlahan lahan.

Kau jua bengang,
namun kerana setia kau pendamkan,
masih jua begitu utuh kesetiaan,
umpama laksamana Hang Tuah,
setia yang tidak sudah sudah,
namun Hang Tuah jua lupa,
dia pernah berkata,
"menurut biarlah bertempat,
mengikut biarlah berakal",
kerana Tuah lupa apa yang dicakapkannya,
maka jadilah ada,
Melayu Mudah Lupa.

Apa guna berbaik,
kalau suka mengungkit?,
apa guna budi sebakul padi,
namun jahatnya setinggi gunung ledang?
apa guna berkuasa,
tetapi tidak berlaku adil?,
apa guna pangkat,
jika hanya mahu menindas?,
apa guna negara,
kalau bukan pelindung rakyat?
apa guna agama
kalau tidak dijulang?

jadi aku bengang

Monday, January 30, 2006

Sudah Hilangkah Melayu Di Dunia?

2006

Aku mencari cari,
dimana melayu itu,
di budayanya?
di makanannya?
di pakaiannya?
di tutur kata bicaranya?
namun hampa yang datang.

lama juga aku mencari,
dimana melayu itu,
tidak pernah ku jumpa,
baik pada bahasanya,
landasan kehidupannya,
struktur bangunan yang dibina,
satu pun tidak,
lambang pada kemelayuan itu.

aku berbisik kepada anakku,
"jika kau berkesempatan,
dewasa nanti carilah dimana melayu itu
dan khabarkan kepada baba."

---------------------------------------
2018.
sedang aku menyapu,
aku disapa lembut oleh anakku,
katanya,
"baba, adib sudah jumpa dimana melayu itu."
dimana?
"ia tersergam indah,
menjadi tatapan dunia,
ia tersergam megah
didalam muzium negara!"

Thursday, January 26, 2006

Sajak Muhammad Amirul Adib



Matamu itu,
biarlah umpama matari
terang menyuluh yang tersembunyi
suluhlah pada kebenaran.

Suaramu itu,
biarlah bagai guruh
megah membelah angkasaraya
bersuaralah pada keadilan.

Dirimu itu,
biarlah seperti namamu
semoga engkau menjadi sinar
gelap kubur baba dan ibu.

Friday, January 13, 2006

Abah Kata

Abah kata
Cinta itu palsu
Jika mengikut nafsu
Jika tiada hala tuju
Sampai hilang pedoman hidup.

Abah kata
Cinta itu tipu
Jika hati tidak jujur
Jika jiwa tidak luhur
Sampai rukun hilang luput.

Abah kata,
Cinta itu suci
Kalau ikhlas memberi
Kalau tahu menjaga diri
Batasan agama jangan dilupai.

Thursday, January 05, 2006

Mencari Jalan Pulang

Aku sedang
meraba raba
didalam terang
mana pautan?
atau teduh
terik mentari.

Aku sedang
tergapai gapai
dilaut tenang
mana pelampung?
atau dahan
renang ketepian.

Aku sedang
mencari jalan
rupanya depan mata
mana tangan?
atau taulan
bawa ku pulang.

Saturday, December 31, 2005

Jangan Diputuskan Doa Itu - tribute to ainadilah

Jangan diputuskan doa itu wahai ibu
Anakmu amat memerlukannya
Menentang arus durjana dunia akhir zaman
Sementelah dengan dosa didepan mata
Hingga merecup nafsu gelodak
Kontan mengacau iman dipinggitan.

Jangan diputuskan doa itu wahai isteriku
Suamimu amat memerlukannya
Melawan kuku kuku dan jerajak besi
Menentang sejuk dilantai simen
Atau sejuk mata basah kedinginan
Doa kita menujah dinding kezaliman.

Jangan diputuskan doa itu taulan
Kerana kita umat diakhir zaman
Menunggu masa memecah kepompong,
Hanya doa itu yang tinggal
Senjata terakhir dalam mengurai
Perjuangan yang masih belum selesai.

Semacam Kera

Semacam kera aku lihat mereka,
Semacam ungka jua adakalanya,
Bukan niat mahu mengata,
Sudah terpampang didepan mata,
Jelek sungguh melihat mereka,
Yang semacam kera dan juga ungka,
Yang hidup bukan di hutan belantara,
Tetapi ditengah sibuk arus kotaraya,
Ditengah hutan konkrit dan batu bata.

Semacam kera aku kata mereka,
Semacam ungka jua tafsiran mata,
Bukan niat mengada cerita,
Sudah jelas apa perlu disuluhnya,
Bosan hati meluat tak usah cerita,
Perihal mereka si ungka dan kera,
Manusia baru ditengah bandaraya,
Manusia moden canggih dan bergaya,
Mengnakhoda kita kononnya ke syurga.

Mereka Intelektual, Doktor, Ph.D,
Cendiakawan terkenal didunia,
Tetapi sayang tak kurang dari ungka dan juga kera

Thursday, December 22, 2005

Puisi Jiwa

Sehalus sutera cina sewangi kasturi,
Seindah bahasa kita pengikat cinta,
Coretan indah puisi jiwa,

Biar datang bulan yang gelap,
Tetap jua cahaya bintang ditimur,
Walau pun jauh dihujung sana,
Biar kata hati tiada digilap,
Tetap jua kasih basah dijemur.

Hati mana tiada rasa cinta?kalau kasih laksana bidadari,
Bukan buta jika gelap mendatang,
Sekadar asing ditengah baiduri,
Merasa cinta didalam hati.

Indah dimata laksana emas,
Rindu terbit umpama matahari,
Kasih berbunga selama mewangi.

Thursday, December 15, 2005

Selamat Datang Ke Dunia Ku

Politikus merapu tanpa silu,
Bahasa tipu yang halus jitu,
Merampas apa ada kau dan aku,
Mereka kita semua ampu,
Jika tidak nanti jadi abu,
Jika tidak nanti sebu,
Ada yang tidak mampu,
Bangkit melawan menegur lalu,
Tumbang bagai hulubalang dahulu,
Selamat datang ke dunia aku.

Kalau boleh mahu tinggi,
Sampai langit ke tujuh lagi,
Apa lagi yang mahu dicari?
Sedang dibumi masih menanti,
Janji janji yang belum dipenuhi,
Tuntutan yang sering diingkari,
Adakah hanya aku yang dihantui?
Janji janji dari Illahi,
Azab pedih yang sedang menanti,
Yang sering datang menjadi mimpi ngeri.

Saturday, December 03, 2005

Tak Guna

Apa guna pencakar langit,
Jika dibawahnya,
Pengundang petaka.

Apa guna menara tinggi,
Jika naungannya,
Onar dan dosa.

Apa erti laungan merdeka,
Jika kita,
Kufur pada nikmatNya.

Apa baiknya undang undang,
Jika penyubur,
Hantu jembalang.

Apa ada pada bangsa,
Jika tiada,
Hidup beragama.

Saturday, November 26, 2005

Takut

Aku takut,
pada gelap,
pada terang,
pada hilang.

kau takut,
pada aku,
pada pahala,
pada syurga.

kita takut,
pada mereka,
pada perubahan,
pada kemenangan.

aku takut,
pada Dia,
pada azabNya,
pada janji janjiNya.

Friday, November 11, 2005

Alwani

Mereka kata cinta itu merah,
Rindu itu unggu,
Dan kasih itu putih,
Laksana harum wangi kasturi.

Namun cinta aku itu biru,
Umpama laut luas terbentang,
Saujana mata memandang.

Dan rindu aku itu hijau,
Seperti luas sawah dan ladang,
Dihiasi ciap burung ditengah petang.

Dan kasih aku itu linen,
Laksana awan diawal senja,
Memberi redup pada hati gulana.

Aku kata cinta itu keemasan,
Rindu itu keperangan,
Kasih itu pula pelangi,
Setanding warna cenderawasih.

Thursday, November 03, 2005

Tetap Kita

Sejauh mana kita melangkah,
tetap kita ada selangkah dibelakang,
sejauh mana kita kehadapan,
tetap ada pada kita semua,
setapak menuju kemunduran,
seluas lautan yang kita lihat,
tetap terhad pandangan mata,
setinggi mana gunung yang ditawan,
tetap kerdil kita disisi tuhan.

Wednesday, October 26, 2005

Puteri

Tidak aku damba,

Si halus muluk,

Puteri Hang Li Po,

Bukan jua yang menawan,

Laksana Tun Teja,

Atau jua Tun Fatimah,

Jauh sekali yang anggun jelita,

Si Puteri Satunbong atau Sejinjang,

Tidak jua penambat hati,

Seperti Puteri lindungan bulan,

Bukan juga seperti Puteri,

Yang datang dari Gunung Ledang.

Tetapi aku medamba,

Yang canti dihati dan dimata,

Seperti Khadijah,

Yang sanggup berkorban,

Seperti Hajar dan Sarah,

Yang teguh pendiriannya,

Umpama Mashitah,

Juga seperti Sumaiyyah,

Yang baik budi pekerti,

Seperti Balqis dan jua,

Yang menjadi cahaya,

Laksana Aishah dan Fatimah,

Friday, October 21, 2005

Hukum Rimba

Kita tinggal disini,

Dihutan belantara besi,

Kita semua kesakitan jiwa,

Gila nama gila harta gila pangkat,

Kita gila pada dunia,

Yang tidak punya apa apa.

Kita pun menjadi lah,

Sekelompok manusia hina,

Ditengah kota bandaraya,

Maju membangun tanpa akidah,

Kita manusia pak turut jadian,

Dibawah peraturan ciptaan kita.

Kita yang lemah semakin lemah,

Yang kuat semakin besar taringnya,

Tiada lagi tonggak keadilan,

Kita manusia namun kita gila,

Kita manusia namun kita buta,

Merencana hidup pada hukum rimba.

Wednesday, October 12, 2005

Kupu Kupu Syurga

Anak anak kamu itu,
adalah kupu kupu syurga,
yang bebas berterbangan,
untuk digembirakan,
biarkanlah rumahmu,
dipenuhi dengan gelak tawa mereka,
kerana kegenbiraan mereka,
darjat mu diangkat,
setinggi mereka yang menangis,
takut pada tuhanNya.

Anak anak kita itu,
adalah kupu kupu syurga,
yang indah pelbagai warna,
jua yang kita corakkannya,
ciumlah kupu kupu syurga itu,
ia adalah milik kita,
mari kemari kupu kupu syurga,
aku muliakan dirimu dengan adab dan ilmu,
agar engkau bersedia,
menyahut cabaran dunia yang penuh pura pura.