Monday, February 01, 2010

Aduka, Aishah,Sultan dan Politik

berpusing lagi propeller jahanam
menghambur bau malar hingga
menutup hidung pun sekalinya
masih menyerap masuk menyentak benak
lalu kita pun gagah perkasa tiba tiba
menyerang propeller, sedang empunya?

i
dan telah datang dikalangan kita
seorang Aduka, kata-katanya
umpama pernah berduka atau sahaja
jahilnya dihati dihalang tuhan
membiarkan nestapa sangkut di jiwa

lantang dia menghitamkan umairah
lantas jarinya memetik suis propeller

dan kita leka,
dengan teh tarik, tol, astro
papan dam, bil kredit kad

ii
kerana lantang dan lantas
mulut dan jarinya tidak dicelah
maka berdiri dia atas menara megah
meludah keramat persemadian sultan

"Jika sudah mati, matilah!"

dan serentak para khayalak
tersadung kaki melangkah
sejuta jari bersatu menuding
lupa akan mereka dengan
teh tarik, tol, astro
papan dam dan bil kredit kad

"ini maruah kita!"

iii
datang politik membela
berbaris setia menghunus keris
kerna tercabar tengkolok sultannya dituding
walhal tersentuh sedikit berterbangan habuknya
bergegas kaki membuah silat
memintas tajam tusuk lidi

sedang sinar lampu iman kita
malap dan terbakar
dibiar tidak berganti
malah, pembelaan kita pada agama
sengaja salurannya dipindah ke longkang!