Tuesday, April 24, 2007

Serviskah Merdeka?

adalah aku
sebuku roti yang tidak dijamah
hingga berkulat
menjadi bahaman anjing
adalah kamu

merdu halwa di dalam kereta
di bilik dan di pejabat
adalah mereka
wirawan dan wirawatiku
cintawan dan cintawatiku

adalah nafsu
kanvas kanvas bercorak yang dicetak
menghiasi kesesakan
disepanjang lebuhraya persekutuan

adalah aku, adalah kamu
adalah kita, adalah mereka
yang memandu merdeka
tanpa menggantikan minyak hitamnya

Monday, April 23, 2007

Doktor, Perskripsikan Aku

doktor,
siapkan aku perskripsi
kerana perasaan itu telah hilang
dan aku perlukan ia kembali
sebelum diketahui

aku gelisah merayau
cuba mengembalikan
kesegaran epal di mataku

doktor,
siapkan aku perskripsi
sebelum aku menerima
satu kad ucapan
terima kasih yang sinikal!

Saturday, April 21, 2007

Timbangan Bangsa

berapakah nilai bangsa
yang telah diharamkan
identitinya?

berapa pula harga tebusan
maruah yang diculik
undang undang?

cukupkah sebungkus kemerdekaan
sebagai nafkah bekalan bangsa
sehingga ke hujung nafas?

atau secawan kopi pembangunan
yang dibancuh
tanpa susu dan gula

berapakah nilai kami
disebalik jalan bertar
pelangi di kaca tivi
tinggi cita dan wawasan?

Sunday, April 15, 2007

Kelewatan Dijangka

susur keluar ke lebuhraya,
lancar
tiba tiba di kilometer 23
traffik menjadi perlahan
dan semakin tidak bergerak

dari kejauhan
aku melihat pemberitahuan
di papan tanda digital
garapnya,

"kelewatan dijangka
cinta kemalangan di hadapan"

Thursday, April 12, 2007

Bilkan Situasi Itu

Situasi itu telah dibilkan
dibayar dengan maruah
resit disambut dengan mulut
dan ketar di tangan

Senario itu dibeli secara hutang
nanti akan dibayar bila sampai bilnya
bayaran minimum adalah : rakyat
bayaran penuh adalah : masa hadapan

Situasi itu adalah duit di dalam mesin
janji janji kata laluan membenarkan cara
dan resit itu adalah anak anak bangsaku
yang bukan disimpan untuk rujukan

Saturday, April 07, 2007

Pesan Untuk Anak

sentiasa sematkan
di setiap inci
yang berkaitan denganmu
tuhan itu satu
yang maha esa, Dia.

imanmu adalah nyawamu
adalah maruahmu,agama dan bangsa
sekeping tiket tempahan
kekayaan di akhirat atau
kemiskinan di dunia

cinta,
jangan sesekali
membiarkan nafsu memegang berus
pelanginya nanti
hanya ada satu warna

hidup,
jangan seperti kasut
walau semahal mana kualitinya
tetap menjadi pijakan orang
tetap juga memijak najis

Tuesday, April 03, 2007

Legar

kau
jika kau kembali lagi
jangan biar ia terbakar
jangan biar ia menghilang

dan aku tidak sinis
cuma sikap mu itu
mengoyakkan kanvas asmara
melumutkan istana

apa sahaja alasan yang aku ada
untuk pergi
tempatku sentiasa di sisimu

perasaan untukmu yang tersedia
seperti dunia dikelilingi jari
perlukah kau terus berlegar?

Monday, April 02, 2007

Opera Hati

turunkan langsir awan
biar hujan merintik

kau pengarah
opera hati yang terluka
bila cinta jatuh di pentas
bila rindu lupa pada skripnya
bila harapan selaku hero
tawar lakonannya

kau pengarah
opera hati
sedang terluka
bila kecewa adalah penonton
mentertawakanmu

dan kau berlalu
saat cinta menunduk hormat
di akhir cerita
bahagia bertepuk tangan
kegembiraan

"jika esok ditayangkan lagi
aku pasti datang!"